07 Ogos 2012

SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI

Pada kesempatan kali ini, saya ingin merakamkan ucapan 

"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI"

Saya berharap kita dapat  beribadah dengan tenang dan aman sepanjang bulan Ramadhan tahun ini. Saya juga mendoakan semoga kita semua akan diberkati Allah dalam apa juga perkara yang kita lakukan.

MAAF MAAF ZAHIR DAN BATIN.

PERSIDANGAN PENGURUSAN PENDIDIKAN DAN MESYUARAT AGUNG MAJLIS PENGETUA SEKOLAH MALAYSIA NEGERI SELANGOR KALI KE-50 TAHUN 2012

16 Mei 2012

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SMK AMPANG PECAH TAHUN 2012

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...


Pada hari ini, 16 Mei 2012, pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia bersama pemimpin pendidikan peringkat negeri dan daerah berada di Kuala Kangsar, Perak kerana meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan.


Sambutan peringkat sekolah seperti biasa diarahkan supaya dilaksanakan sama dengan tarikh peringkat kebangsaan iaitu 16 Mei setiap tahun.


Bagi saya yang baru balik semula ke sekolah mulai penghujung tahun 2011, amat merasakan kemeriahan sambutan peringkat sekolah yang telah saya tinggalkan sepuluh tahun sebelumnya. Kali terakhir sambutan hari guru peringkat sekolah saya raikan bersama rakan guru dan pelajar ialah pada tahun 2003. mulai tahun 2004 hingga 2011 saya tidak ada peluang meraikan bersama pelajar di sekolah.


Pada tahun 2012, suasana seperti 10 tahun sebelumnya dirasai semula. 


Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan guru di mana juga kalian berada di Malaysia ini. Ucapan hari guru ini secara khasnya saya tujukan kepada warga pendidik peringkat sekolah (SEMEKAP). Anda semua guru yang hebat. Apa yang kita ada dan capai pada masa sekarang bagi saya tidak begitu penting. Lebih penting apa yang kita hasrat dan usahakan untuk mencapai sesuatu pada masa akan datang lebih penting dan bermakna.


Sekali lagi "SELAMAT HARI GURU, terima kasih cikgu-cikgu SEMEKAP.

22 April 2012

MSS SELANGOR 2012 (OLAHRAGA)


Pada 17 April 2012, saya berkesempatan hadir di stadium Kuala Selangor kerana bertugas pada petang Selasa tersebut.  Pada petang itu Tn Hj Mahmud bin Karim (Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor), Tn Hj Abdul Khalid bin Jaafar (Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN Selangor), Tn Zainal Abidin bin Mohd Yusof (PPD Hulu Selangor), turut hadir untuk memeriahkan kejohanan.

Pada petang itu saya juga diberi penghormatan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang 400 meter semua kategori bagi pemenang perempuan.

31 Mac 2012

KEJOHANAN BOLA SEPAK MSSD HULU SELANGOR



Assalamualaikum....

Pada petang Jumaat 30 Mac 2012, bertempat di Padang Melenium KKB pertandingan akhir bola sepak MSSD Hulu Selangor telah dijalankan. Bawah 15 tahun telah menemukan SMK Ampang Pecah dengan SMK Bukit Sentosa 2.

Selepas kedua-dua perlawanan berjalan selama 50 minit, akhirnya kejayaan berpihak kepada pasukan SMK Ampang Pecah (1-0) Perlawanan disaksikan oleh pengetua kedua-dua buah sekolah.

Selaku pengetua, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemain, guru jurulatih, PK Kokurikulum dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung sehingga merealisasikan kemenangan pasukan sekolah. Ini membuktikan bahawa usaha gigih semua pihak telah berjaya menebus kegagalan tahun lalu.

Kepada pasukan bawah 18 tahun, saya tetap mahu mengucapkan tahniah walaupun tidak berjaya memasuki peringkat akhir. Sekurang-kurangnya dengan berjaya ke peringkat suku akhir telah meletakkan SMK Ampang Pecah selaku Johan keseluruhan bola sepak MSSD Hulu Selangor. Bagi saya, pencapaian ini cukup besar maknanya kepada saya yang baru berada di SMK Ampang Pecah.

Semoga kejayaan ini seiring dengan semua kejayaan lain yang akan mendatang. Ada banyak aspek semua pelajar dan warga SEMEKAP boleh buktikan kerjasama secara menyeluruh kita akan meletakkan kejayaan menyeluruh. Saya amat berharap bantuan menyeluruh secara total.



27 Mac 2012

KURSUS JSU GEOGRAFI HULU SELANGOR

Assalamualikum dan selamat sejahtera...

Hari ini 27 Mac 2012, hari Selasa saya berada di PKG Sungai Choh atas urusan membantu Panitia Geografi daerah Hulu Selangor melaksanakan kursus Perealisasian Item khasnya dalam menyediakan JSU (Jadual Spesifikasi Ujian).

Ilmu ini amat perlu dan amat rapat hubungannya dengan penyediaan Item Ujian atau Pentaksiran yang bakal disediakan oleh semua sekolah dalam PBS.

Sebagai membantu rakan-rakan guru di daerah, saya sanggupkan diri untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebagai ganti kepada penceramah yang tidak dapat hadir ke darah Hulu Selangor. Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu yang mungkin ada saya miliki suatu masa dahulu.

Terima kasih kepada urusetia, SMK Gedangsa dan tahniah kepada para guru yang hadir. Dua orang guru hadir bagi setiap sekolah iaitu:

1. SMK Taman Bunga Raya (1)
2. SMK Bandar Sungai Buaya..
3. SMK Bukit Sentosa 2.
4. SMK Sungai Choh.
5. SAMT KKB.
6. SAMSES.
7. SMK Kg Soeharto.
8. SMK Gedangsa.
9. SMK Serendah.
10.SMK Dato Hj Kamaruddin.
11.SMK Bukit Sentosa.
12.SMK KKB.
13.SMK Kalumpang.
14.SMK BB Btg Kali.
15.SMK Ampang Pecah.
16.MRSM KKB.

Tidak ada wakil hadir ialah:
1. SMK Syed Mashor.
2. SM Sains Hulu Selangor.

Semoga perkongsian ilmu hari ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru, sekurang-kurang mendapat sedikit pendedahan dalam penyediaan Irem peperiksaan di sekolah.

Terima kasih.

22 Mac 2012

MESYUARAT AGUNG PIBG 2012

Assalamualaikum, selamat sejahtera, selamat 1Malaysia.

Terima kasih saudara/saudari pengacara majlis.

Yang Berhormat, Tn Wong Koon Mun (ADUN Kawasan Kuala Kubu Bharu),
En Mohd Noor bin Abas,YDP PIBG SMK Ampang Pecah, Barisan Penolong Kanan, AJK PIBG SMK Ampang Pecah, Barisan Guru Kanan Mata Pelajaran, para guru dan ibu bapa yang saya hormati dan para pelajar yang diundang untuk menerima penghargaan kerana cemerlang dalam PMR dan SPM tahun 2012.

Sukur kehadrat Allah kerana memberi peluang dan kesempatan kepada aya hadir dalam majlis pada hari ini. Terima kasih kepada YB Tuan Wong Koon Mun kerana sudi hadir dan merasmikan mesyuarat Agung PIBG pada petang ini. Izinkan saya memberikan sedikit maklumat tentang data umum sekolah ini. Sekolah bermula tahun 2001 dengan jumlah murid seramai 168 orang dan 10 orang guru. Kini sekolah ini mempunyai seramai 1021 orang murid, 66 orang guru dan kakitangan bukan guru seramai 14 orang. Kita mempunyai 29 kelas aliran perdana dan 06 kelas PPKI yang mempunyai murid seramai 40 orang.

Izinkan saya mengumumkan secara rasmi bahawa barisan Penolong Kanan sekolah ini telah berubah baru-baru ini selepas Pn Lan Rasni bt Talib dinaikkan pangkat menjadi Pengetua di SMK Kalumpang, iaitu:
1. PK - En Mohd Suhaimi bin Abdullah.
2. GPK HEM - Pn Norlida binti Rahmat.
3. GPK Koku - En Mohd Azimi bin Kassim.
Tahniah, dan selamat menjalankan tugas baru masing-masing.

Itu adalah perubahan penolong kanan di sekolah ini. Jika kita lihat kepada infrastruktur sekolah ini, kita baru-baru ini ditawarkan oleh Yayasan Pembangunan Negara, di bawah Kementerian Pembanguan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk naik taraf dan baik pulih sekolah yang daif dalam NKRA kementerian tersebut. Kita lihatlah perubahan yang berlaku melalui gambar pada paparan skrin di depan. Kerja-kerja ini masih berterusan. Untuk pengetahuan semua, kelengkapan yang baik tidak disediakan oleh pihak yang menyumbang. Jika dilihat dewan ini tidak dibekalkan penghawa dingin dan tiidak dilantaikan dengan jubin/tile. Pada kesempatan ini saya berharap PIBG akan dapat mengusahakan dewan ini akan dapat disediakan dengan kemudahan yang lebih baik, termasuk menyediakan kerusi dan meja dewan, supaya aktiviti lebih lancar dilaksanakan pada masa akan datang.

Saya bagi pihak warga sekolah ini ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada PIBG yang diketuai oleh En Mohd Nor bin Abas kerana menyediakan peruntukan dalam kecerian sekolah termasuk menyediakan hadiah dalam pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas di sekolah ini. Terima kasih banyak dan berharap sumbangan ini akan berterusan. Inilah fungsi dan peranan PIBG yang benar-benar membantu pihak sekolah, dalam mematikan program para pelajar kita akan dapat diteruskan, termasuk kelas tambahan menghadapi peperiksaan awam.

Satu perkara yang amat penting diambil tahu dan penting untuk saya menerangkan sedikit dalam perjumpaan ini. Saya berharap tidak ada para ibu bapa yang tersalah sangka dengan PBS ini. Para pelajar tingkatan 1, iaitu anak tuan-tuan perlu melalui pentaksiran dan penataran PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah), terdapat 4 komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP). Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Kokurikulum (PAJSK) dan PPSSi (Pentaksiran Psikometrik). Dalam PBS juga jangan terkejut ada keputusan yang tidak menggunakan markah dan gred seperti sekarang. Ada keputusan hanya dinyatakan dengan skala band 1,2,3,4,5,6 sahaja. Semoga kita semua maklum..

Seperkara lagi tentang pendidikan yang dikaitkan dengan proses online ialah (SAPS), iaitu Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah. Aplikasi ini masih digunakan oleh sekolah dan dipantau oleh PPD/JPNS/KPM. Ibu bapa boleh menyemak keputusan peperiksaan pelajar tingkatan 2, tingkatan 3, tingkatan 4 dan tingkatan 5. Tingkatan 1 tidak dimasukkan ke dalam SAPS. Janganlah tuan-tuan dan puan-puan terkejut jika tidak dapat melihat keputusan peperikssaan anak tingkatan 1 masing-masing.

Untuk menyemak keputusan peperiksaan melalui SAPS tuan-tuan boleh menggunakan blog sekolah ini. Taipkan http://smkapkkb.blogspot.com. Pada bar sebelah kiri dibawah gambar penolong kanan klik pada Semakan Keputusan Peperiksaan (IBUBAPA).

Dalam Pembestarian sekolah pula, saya tetap tidak lupa untuk memaklumkan bahawa sekolah ini masih berjaya mengekalkan status 5 Bintang SSQS KPM. Saya difaham semalam bahawa semua sekolah Bestari penanda aras (88 buah) dan 50 buah sekolah Bestari Luar Bandar dan beberapasekolah lain, berjumlah 351 buah di Malaysia akan dijadikan sekolah Juara dalam penggunaan VLE yang saya sebut sebentar tadi. SMK Ampang Pecah tetap dimasukkan dalam kumpulan ini. Guru, murid sekolah ini akan menjadi pengguna awal program ini apabila 1Bestari Net berada di sekolah tidak lama lagi. VLE adalah platform pembelajaran (e-learning).

Perkara terakhir ialah tentang peperiksaan awam 2011, SPM GPS kita ialah 5.75 dan PMR pula ialah 3.17. Walaupun angka ini tidak mengembirakan saya tetapi saya tetap gembira masih ada pelajar yang mendapat semua A dalam mata pelajaran PMR, iaitu 4 orang. SPM kita mempunyai pelajar mendapat 9A (2 orang).

Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada petang ini akan dapat membakar semangat anak-anak kita yang akan menduduki peperiksaan tahun ini. Pada masa yang ama pelajar kita yang telah tamat belajar akan berjaya menyambung pelajaran. Pastikan mengisi borang permohonan UPU yang masih berjalan sekarang dengan betul dan sesuai dengan kelayakan masing-masinng. Sila gunakan kemudahan yang disediakan supaya anak kita tidak ditolak mentah-mentah dalam permohonan ke Universiti. Rujuk para guru di sekolah atau boleh semak secara online, saya telah masukkan link dalam FB SMK Ampang Pecah. Saya lihat sudah ramai yang mencuba. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan juga akan dapat menggerakkan PIBG untuk membantu perkembangan pendidikan anak masing-masing, pada masa yang sama ini adalah salah satu sokongan yang kadangkala kita sebagai ibu bapa tidak nampak betapa sokongan sebegini akan menyokong perkembangan pendidikan anak secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih, khasnya kepada YB yang akan memberi ucapan perasmian pada petang ini.

Catatan selepas majlis Mesyuarat Agung PIBG 2012:

Sebenarnya ucapan ini saya sediakan sebagai persiapan jika bahan power point yang saya sediakan tidak dapat digunakan. Bahan ini akan saya gunakan dalam ucapan. Walau bagaimanapun, tidak dapat saya membacakannya kerana YB Wong Koon Mun tidak dapat hadir kerana persidangan dewan (DUN Selangor) dan pada masa yang sama power point saya nampok boleh digunakan.

Terima kasih dan tahniah semua guru AJK Pelaksana khsnya En Mohd Azimi bin Kasim (GPK Kokurikulum) kerana berjaya menguruskan persiapan akhir program ini. Saya selaku pengetua menghadiri bengkel Pengetua/Guru Besar Sekolah Bestari Luar Bandar peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada masa yang sama Penolong Kanan dan GPK HEM juga diminta hadir kursus anjuran Jabatan Pelajaran Selangor di Ipoh.

Sukur Alhamdulillah, mesyuarat agung berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.

Sekian terima kasih.




21 Mac 2012

BENGKEL KERJA PEMANTAPAN PENGURUSAN SEKOLAH BESTARI LUAR BANDAR

Hari ini 21 Mac 2012, saya mulakan bengkel kerja yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) KPM di Hotel Grand Bluewave Shah Alam.

Pada 8.30 -10.30 malam, slot pertama dan kedua telah disampaikan oleh:
Pn Maimunah bt Mohd Tahir, hal berkaitan perlaksanaan1Bestarinet. 1Bestarinet akan menggantikan Schoolnet sedia ada pada masa sekarang. Salah satu pengisian yang terdapat dalam pakej ini ialah Virtual Learning Environment (VLE) iaitu Pelantar Pembelajaran Maya.

Slot kedua diampaikan oleh Hjh Noraizan bt Mohamed tentang tajuk Kelestarian Pembestarian Sekolah. Beliau menyentuh perbezaan ganerasi dalam ICT dan pengguna ICT yang berbeza mengikut zaman.

Latihan bagi VLE akan diadakan bagi guru-guru 88 buah sekolah bestari asal (Perdana)dan 50 buah sekolah bestari luar bandar (SBLB) dan beberapa buah sekolah yang telah dikenalpasti untuk menjadikan jumlahnya 351 buah yang akan menjadi Champions School yang menggunakan VLE. Kumpulan 351 buah sekolah ini akan menerima latihan secara terus frogmalaysia, bagaimana VLE digunakan. Sekolah ini akan didahulukan dalam penyediaan YES. Sekolah lain yang selebihnya akan mendapat latihan daripada KPM yang mungkin akan dilatih melalui IPG dan IAB.

Seperkara lagi yang penting tentang pembestarian sekolah ialah proses berterusan ke arah pembudayaan teknologi dalam pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pemelajaran.

Ini adalah maklumat asas yang disampaikan pada hari pertama.

Pada hari kedua, sesi pagi dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Dr. Dzaharuddin Mansor tentang keperluan untuk berubah dalam penyampaian ilmu kepada kumpulan digital natives.

Slot lain pada hari kedua adalah latihan pendedahan bagaimana menggunakan Virtual Learning Environment (VLE) secara online, iaitu menggunakan frog. (Katak warna biru) Insyaallah, tahun ini, selepas bulan Mei semua sekolah akan mendapat latihan ini. Bererti proses pengajaran dan pembelajaran secara online boleh diaplikasikan. Ada banyak perkara boleh dijalankan melalui online.

Inilah pendedahan hari pertama dan hari kedua.


KEPUTUSAN SPM 2011


Suasana di sekolah (SEMEKAP) pada pagi 21.03.2012., semasa para pelajar SPM 2011 hadir ke sekolah mengambil keputusan SPM masing-masing. Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang dan kepada yang tidak cemerlang, jangan putus asa. Gagal sekarang tidak bererti gagal selama-lamaanya. Bangkit semula untuk tindakan baru yang lebih fokus dan semangat yang baru.

15 Mac 2012

KURSUS KEPIMPINAN PENGURUSAN PUSAT SUMBER SEKOLAH

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Selamat bercuti kepada guru SEMEKAP. Sambil bercuti, semoga dapat membereskan tugasan memeriksa kertas jawapan pelajar kita. Markah perlu key-in dalam aplikasi SAPS Kementerian Pelajaran Malaysia. Pastikan juga markah TOV dan ETR disempurnakan sekali.

Saya pula diarahkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor untuk hadir kursus di IAB Genting Higland pada 12-15 Mac 2012.

Saya rasa gembira kerana sepanjang perkhidmatan saya sebagai guru, inilah satu-satunya kursus yang tidak pernah saya terlibat. Saya sendiri tidak pernah terlibat secara terus dengan urusan Pusat Sumber di sekolah.

Saya perlu mengubah tanggapan saya selama hari ini bahawa Pusat Sumber itu hanya berkisar pada perpustakaan dan yang ada di dalamnya sahaja. Pada hakikatnya pusat sumber itu mempunyai konsep yang lebih luas.

Saya berharap warga SEMEKAP akan dapat bergerak menggunakan pusat sumber pada takrifan yang betul dan sebenarnya. Menjadi tanggungjawab para guru menjadikan para murid kita menggunakan segala sumber yang ada dan kita perlu berusaha mewujudkan sumber yang menyeluruh di seluruh kawasan sekolah kita. Seluruh kawasan sekolah kita sepatutnya menjadi pusat sumber.

11 Mac 2012

PERTUKARAN JAWATAN PENOLONG KANAN DI SMK AMPANG PECAH

Salam sejahtera..

Sebagai makluman semua secara rasmi, dimaklumkan jawatan Penolong Kanan di sekolah ini telah berubah apabila semua GPK mendapat surat lantikan rasmi daripada panel naik pangkat Jabatan Pelajaran Selangor baru-baru ini, apabila Pn Lan Rasni mengosongkan tempat Penolong Kanan.

Secara rasmi mulai sekarang:

Penolong Kanan: En Mohd Suhaimi bin Abdullah.
GPK HEM: Pn Norlida bt Rahmat
GPK Kokurikulum: En Mohd Azimi bin Kassim.

Semoga semua penolong kanan dapat membantu saya menguruskan sekolah (SEMEKAP) sebaik mungkin.

23 Februari 2012

SELAMAT BERTUGAS DI TEMPAT BARU UNTUK PN LAN RASNI

SMK Ampang dikejutkan dengan berita terbaru, bahawa Penolong Kanan (Pn. Lan Rasni bt Talib), telah mendapat surat arahan pertukaran dinaikkan pangkat menjadi Pengetua di SMK Kalumpang. Minggu ini merupakan minggu terakhir beliau berada di SEMEKAP. Mulai hari Isnin (27.Februari 2012) beliau akan memulakan tugas di sekolah baru.

Mewakili warga SEMEKAP yang lain, saya ingin mengucapkan tahniah atas kenaikan ini. Terima kasih atas batuan selama hari ini di SEMEKAP. Jasa dan bantuan Pn Lan Rasni pasti kita kenang, sebagai Penolong Kanan yang banyak membantu dalam pengurusan sekolah. Walaupun perkhidmatannya di SEMEKAP tidak lama, tetapi tetap kami kenang.

Semoga Pn Lan Rasni akan seronok bertugas di tempat baru. Untuk kita yang masih meneruskan tugas di SEMEKAP, marilah kita teruskan tugas kita. Untuk sementara waktu tugas Penolong Kanan akan ditanggung oleh Penolong Kanan HEM, En Mohd Suhaimi bin Hj Abdullah. Dengan kata lain Cikgu Suhaimi akan melakukan 2 tugas besar. Saya percaya Pn Norlida bt Rahmat (Penolong Kanan Kokurikulum) dapat membantu sedikit sebanyak tugas-tugas HEM dan pada masa yang sama menjalankan tugas sendiri. Keadaan ini akan berlaku sehingga ada nama Penolong Kanan menggantikan tempat Pn lan Rasni di SEMEKAP.

Saya berharap semua pentadbiran akan berjalan dengan baik dan lancar, walaupun Penolong Kanan masih belum hadir dan diketahui lagi. Kita akan menerima ssiapa sahaja yang akan dilantik oleh Penal naik pangkat.

31 Januari 2012

KUNJUNGAN KE SEREMBAN (MAJLIS PERKAHWINAN ANAK CIKGU KHALILUDIN)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Pada hari Sabtu (28.01.2012), saya bersama isteri berkesempatan pergi dan hadir ke majlis perkahwinan anak cikgu Khaliludin di Seremban. Rumah cikgu Khaliludin berdekatan dengan Kolej Tunku Kursiah, Seremban. Sekolah yang menjadi tempat belajar dan ingatan isteri saya suatu ketika dahulu. Bagi pihak kami berdua saya rakamkan tahniah kepada cikgu Khaliludin kerana menerima menantu.

Selesai kenduri kahwin kami berdua mengambil kesempatan berjalan di Negeri Sembilan. Kami bergerak ke Kuala Pilah, tempat anak ketiga kami pernah belajar selama beberapa bulan, di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Kami panjangkan perjalanan kami hingga ke pekan Bahau, Negeri Sembilan. Kami berhajat untuk melihat dan meninjau perjalanan ke kawasan ini, kerana anak sulung kami telah mula bertugas di Felda Tembangau daerah Bera, Pahang, pekan terdekat mereka ialah Bahau. Kemungkinan besar saya boleh menggunakan arah perjalanan ini apabila berkunjung ke Tembangau.

Pada hari Ahad (29.01.2012) saya sekali lagi menggunakan laluan ini kerana menghantar anak sulung balik ke Tembangau. Perjalanan balik, kami menghantar anak ketiga kami di IPG IPIS, Bangi.

Mungkin pada 07.02.2012 sekali lagi laluan ini akan saya gunakan untuk menghantar mereka balik ke tempat masing-masing. Mungkin pada tarikh itu, perjalanan lebih jauh lagi. Saya berhajat untuk bergerak dari Kuala Kubu Bharu ke Bangi, menghantar anak ketiga saya. selepas itu saya akan bergerak ke Tembangau, daerah Bera, Pahang, menghantar anak sulung kami. Dari situ saya akan hantar anak kedua saya ke Kuantan, Pahang untuk memulakan semester barunya, sudah pasti menggunakan laluan Triang dan Temerloh dan ke Kuantan. Mungkin ada laluan lain, tapi tak pasti lagi.

Begitulah kita, tanggungjawab sebagai bapa, ibu, dan penjaga yang tetap ada selagi mereka tidak mempunyai keluarga sendiri, selagi itulah kita perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai orang tua. Selepas mereka berkeluarga pun rasanya ada tanggungjawab lain yang pasti kita teruskan semoga institusi keluarga terus akrap antara satu sama lain.

23 Januari 2012

PERINGATAN UNTUK SEMUA WARGA GURU SEMEKAP

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.....

Kepada semua warga guru SEMEKAP sesi 2012, kita maklum hari ini telah masuk minggu ke-4 Januari 2012. Minggu ini semuaya bercuti sempena Tahun Baru Cina. Selamat bercuti.

Pada masa yang sama tolong ambil tindakan segera tentang Buku Persediaan Mengajar masing-masing. Ada juga yang masih tidak menghantar pada 20.01.2012 seperti yang diarahkan. Hantar segera, tidak elok jika ketua jabatan panggil untuk tujuan penghantaran.

Tolong semak semua aspek, bagi setiap muka surat dan helaian yang perlu dilengkapkan. Saya dapati masih ada yang tidak lengkap.Pastikan disemak.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian seperti segala jenis maklumat diperlukan dalam Buku Persediaan Mengajar. Sila pastikan bahawa Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan adalah dua perkara yang berbeza. Huraian Sukatan Pelajaran yang dibekalkan oleh KPM tidak boleh terus dijadikan sebagai Rancangan Pelajaran Tahunan. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) mesti dubuat selari dan mengambil kira dan memasukkan tarikh mingguan dan cuti yang ada dalam takwim sekolah. Ketua Panitia sepatutnya pastikan semua hal ini ada dan selaras dengan takwim.

Saya masih terjumpa ada guru memasukkan RPT dari tahun yang lama kerana tarikh tidak diubah. Harap baiki.

Sila masukkan senarai nama pelajar kelas yang diajar. Pada masa yang sama dapatkan TOV bagi setiap mata pelajaran yang diajar mengikut kelas masing-masing daripada Ketua Panitia. Tolong catatkan pada ruangan nama pelajar masing-masing dalam Buku Persediaan Mengajar. Rujuk pada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing dan Penolong Kanan untuk membuat penetapan TOV.

Sila buat tag pada Buku Persediaan mengajar masing-masing bahagian yang masih tidak ditandatangani oleh Pengetua. Minggu akan datang saya akan tandatangan. Pada masa yang sama lengkapkan semua yang tidak beres lagi.

Semoga dapat ambil tindakan segera.

17 Januari 2012

PERJALANAN MENGHANTAR ANAK UNTUK PENEMPATAN BERTUGAS SEBAGAI GURU DI PAHANG


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Pada 16 dan 17 Januari 2012, saya bercuti kerana menguruskan anak sulung yang ditempatkan sebagai guru di Pahang.

Mulai pukul 5.00 pagi kami bertolak ke PPD Temerloh seperti yang diarahkan. Singgah di Petronas berdekatan laluan di Bentong untuk solat subuh. Nama sekolah masih tidak diketahui. Semua guru baru seluruh Pahang dipanggil ke Temerloh untuk mendengar taklimat daripada JPN Pahang. Mungkin ini kaedah yang digunakan oleh negeri Pahang supaya bakal guru ini tidak ada peluang dan kesempatan untuk membatalkan penempatan yang diberikan.

Pukul 7.30 pagi kami sampai di Temerloh. Malangnya taklimat memakan masa yang terlalu lama. Selesai hanya mencecah waktu pukul 1.30 tengah hari. Guru baru ini diarahkan supaya melapor diri pada hari yang sama. Bayangkan dalam keadaan yang tidak pasti di mana sekolah dan situasinya, perkara ini perlu dilaksanakan juga.

Nasib baik anak saya ada rakan yang akan mendaftar di sekolah yang sama pada hari tersebut. Secara kebetulan dia memang berasal dari Pahang juga. kami bertolak dari Temerloh segera tanpa memikirkan apa-apa keperluan untuk tinggal di tempat baru. Kami cuba melalui felda Teriang. Nasib tidak baik kerana jalan ini tidak boleh digunakan. Selepas dinasihatkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di laluan felda Teriang kami mengubah laluan.

Kami mengikut laluan Pekan Teriang, mengikut pekan Bera, terus ke Pekan Kemayan. Saya ingat pada mulanya felda Kemayan. Setelah diamati daripada surat yang diterima, bukan felda Kemayan. Perjalanan diteruskan melalui jalan ke Bahau, Negeri Sembilan. Memang kami melintasi sempadan Negeri Sembilan. Akhirnya kami masuk semula ke daerah Bera, iaitu sebuah felda yang tidak pernah saya sampai dan tidak pernah saya dengar namanya. Akhirnya sampai ke sekolah: SMK Tembangau di Felda Tembangau. Sampai waktu selepas pukul 4.00 petang. Nasib baik dapat berjumpa Pengetua, En Rofli bin Mohamed. Semua diuruskan, termasuk penginapan awal menumpang di rumah guru bujang lain untuk sementara waktu.

Sebagai perbandingan penempatan pertama saya sebenarnya adalah di felda negeri Selangor... felda Sg Dusun atau nama sekarang felda Kg Soeharto. Felda ini tidak terlalu jauh berbanding SMK Tembangau. Pekan terdekat Felda ini ialah di Negeri Sembilan, iaitu Bahau, kira-kira 40 km dari sekolah ini. Pusat pentadbiran daerah termasuk PPDnya, PPD Bera terletak di pekan Bera sejauh lebih 65 km daripada sekolah. Jarak dari Temerloh lebih kurang 100 km.

Setidak-tidaknya sekolah felda sekarang tidaklah serupa semasa saya memulakan tugas sebagai guru pada tahun 1980 dahulu. Di SMK Tembangau ini sudah ada KIP (rumah guru) untuk guru-guru. Tahun 1980an dulu saya masih ingat kami sama ada tinggal dengan peneroka yang sanggup menerima kami sebagai keluarga angkat atau tinggal di rumah peneroka yang tidak ada penghuninya lagi. Jika rumah peneroka ini kami tinggal sekurang-kurangnya 8 orang dalam rumah asal peneroka felda yang merupakan rumah kayu 1 bilik, bayangkan keadaannya. Ada juga yang tinggal dalam stor di sekolah yang telah dijadikan tempat penginapan guru.

Di SMK Tembangau lebih selesa, hanya agak jauh dari bandar. Walau bagaimanapun selamat bertugas di felda Tembangau, Pahang. Semoga "abang" panggilan anak sulung saya, Ahmad Nortaufiq, menjadi guru yang baik dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Selamat bertugas.