31 Januari 2012

KUNJUNGAN KE SEREMBAN (MAJLIS PERKAHWINAN ANAK CIKGU KHALILUDIN)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Pada hari Sabtu (28.01.2012), saya bersama isteri berkesempatan pergi dan hadir ke majlis perkahwinan anak cikgu Khaliludin di Seremban. Rumah cikgu Khaliludin berdekatan dengan Kolej Tunku Kursiah, Seremban. Sekolah yang menjadi tempat belajar dan ingatan isteri saya suatu ketika dahulu. Bagi pihak kami berdua saya rakamkan tahniah kepada cikgu Khaliludin kerana menerima menantu.

Selesai kenduri kahwin kami berdua mengambil kesempatan berjalan di Negeri Sembilan. Kami bergerak ke Kuala Pilah, tempat anak ketiga kami pernah belajar selama beberapa bulan, di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Kami panjangkan perjalanan kami hingga ke pekan Bahau, Negeri Sembilan. Kami berhajat untuk melihat dan meninjau perjalanan ke kawasan ini, kerana anak sulung kami telah mula bertugas di Felda Tembangau daerah Bera, Pahang, pekan terdekat mereka ialah Bahau. Kemungkinan besar saya boleh menggunakan arah perjalanan ini apabila berkunjung ke Tembangau.

Pada hari Ahad (29.01.2012) saya sekali lagi menggunakan laluan ini kerana menghantar anak sulung balik ke Tembangau. Perjalanan balik, kami menghantar anak ketiga kami di IPG IPIS, Bangi.

Mungkin pada 07.02.2012 sekali lagi laluan ini akan saya gunakan untuk menghantar mereka balik ke tempat masing-masing. Mungkin pada tarikh itu, perjalanan lebih jauh lagi. Saya berhajat untuk bergerak dari Kuala Kubu Bharu ke Bangi, menghantar anak ketiga saya. selepas itu saya akan bergerak ke Tembangau, daerah Bera, Pahang, menghantar anak sulung kami. Dari situ saya akan hantar anak kedua saya ke Kuantan, Pahang untuk memulakan semester barunya, sudah pasti menggunakan laluan Triang dan Temerloh dan ke Kuantan. Mungkin ada laluan lain, tapi tak pasti lagi.

Begitulah kita, tanggungjawab sebagai bapa, ibu, dan penjaga yang tetap ada selagi mereka tidak mempunyai keluarga sendiri, selagi itulah kita perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai orang tua. Selepas mereka berkeluarga pun rasanya ada tanggungjawab lain yang pasti kita teruskan semoga institusi keluarga terus akrap antara satu sama lain.

23 Januari 2012

PERINGATAN UNTUK SEMUA WARGA GURU SEMEKAP

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.....

Kepada semua warga guru SEMEKAP sesi 2012, kita maklum hari ini telah masuk minggu ke-4 Januari 2012. Minggu ini semuaya bercuti sempena Tahun Baru Cina. Selamat bercuti.

Pada masa yang sama tolong ambil tindakan segera tentang Buku Persediaan Mengajar masing-masing. Ada juga yang masih tidak menghantar pada 20.01.2012 seperti yang diarahkan. Hantar segera, tidak elok jika ketua jabatan panggil untuk tujuan penghantaran.

Tolong semak semua aspek, bagi setiap muka surat dan helaian yang perlu dilengkapkan. Saya dapati masih ada yang tidak lengkap.Pastikan disemak.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian seperti segala jenis maklumat diperlukan dalam Buku Persediaan Mengajar. Sila pastikan bahawa Huraian Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pelajaran Tahunan adalah dua perkara yang berbeza. Huraian Sukatan Pelajaran yang dibekalkan oleh KPM tidak boleh terus dijadikan sebagai Rancangan Pelajaran Tahunan. Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) mesti dubuat selari dan mengambil kira dan memasukkan tarikh mingguan dan cuti yang ada dalam takwim sekolah. Ketua Panitia sepatutnya pastikan semua hal ini ada dan selaras dengan takwim.

Saya masih terjumpa ada guru memasukkan RPT dari tahun yang lama kerana tarikh tidak diubah. Harap baiki.

Sila masukkan senarai nama pelajar kelas yang diajar. Pada masa yang sama dapatkan TOV bagi setiap mata pelajaran yang diajar mengikut kelas masing-masing daripada Ketua Panitia. Tolong catatkan pada ruangan nama pelajar masing-masing dalam Buku Persediaan Mengajar. Rujuk pada Guru Kanan Mata Pelajaran masing-masing dan Penolong Kanan untuk membuat penetapan TOV.

Sila buat tag pada Buku Persediaan mengajar masing-masing bahagian yang masih tidak ditandatangani oleh Pengetua. Minggu akan datang saya akan tandatangan. Pada masa yang sama lengkapkan semua yang tidak beres lagi.

Semoga dapat ambil tindakan segera.

17 Januari 2012

PERJALANAN MENGHANTAR ANAK UNTUK PENEMPATAN BERTUGAS SEBAGAI GURU DI PAHANG


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Pada 16 dan 17 Januari 2012, saya bercuti kerana menguruskan anak sulung yang ditempatkan sebagai guru di Pahang.

Mulai pukul 5.00 pagi kami bertolak ke PPD Temerloh seperti yang diarahkan. Singgah di Petronas berdekatan laluan di Bentong untuk solat subuh. Nama sekolah masih tidak diketahui. Semua guru baru seluruh Pahang dipanggil ke Temerloh untuk mendengar taklimat daripada JPN Pahang. Mungkin ini kaedah yang digunakan oleh negeri Pahang supaya bakal guru ini tidak ada peluang dan kesempatan untuk membatalkan penempatan yang diberikan.

Pukul 7.30 pagi kami sampai di Temerloh. Malangnya taklimat memakan masa yang terlalu lama. Selesai hanya mencecah waktu pukul 1.30 tengah hari. Guru baru ini diarahkan supaya melapor diri pada hari yang sama. Bayangkan dalam keadaan yang tidak pasti di mana sekolah dan situasinya, perkara ini perlu dilaksanakan juga.

Nasib baik anak saya ada rakan yang akan mendaftar di sekolah yang sama pada hari tersebut. Secara kebetulan dia memang berasal dari Pahang juga. kami bertolak dari Temerloh segera tanpa memikirkan apa-apa keperluan untuk tinggal di tempat baru. Kami cuba melalui felda Teriang. Nasib tidak baik kerana jalan ini tidak boleh digunakan. Selepas dinasihatkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di laluan felda Teriang kami mengubah laluan.

Kami mengikut laluan Pekan Teriang, mengikut pekan Bera, terus ke Pekan Kemayan. Saya ingat pada mulanya felda Kemayan. Setelah diamati daripada surat yang diterima, bukan felda Kemayan. Perjalanan diteruskan melalui jalan ke Bahau, Negeri Sembilan. Memang kami melintasi sempadan Negeri Sembilan. Akhirnya kami masuk semula ke daerah Bera, iaitu sebuah felda yang tidak pernah saya sampai dan tidak pernah saya dengar namanya. Akhirnya sampai ke sekolah: SMK Tembangau di Felda Tembangau. Sampai waktu selepas pukul 4.00 petang. Nasib baik dapat berjumpa Pengetua, En Rofli bin Mohamed. Semua diuruskan, termasuk penginapan awal menumpang di rumah guru bujang lain untuk sementara waktu.

Sebagai perbandingan penempatan pertama saya sebenarnya adalah di felda negeri Selangor... felda Sg Dusun atau nama sekarang felda Kg Soeharto. Felda ini tidak terlalu jauh berbanding SMK Tembangau. Pekan terdekat Felda ini ialah di Negeri Sembilan, iaitu Bahau, kira-kira 40 km dari sekolah ini. Pusat pentadbiran daerah termasuk PPDnya, PPD Bera terletak di pekan Bera sejauh lebih 65 km daripada sekolah. Jarak dari Temerloh lebih kurang 100 km.

Setidak-tidaknya sekolah felda sekarang tidaklah serupa semasa saya memulakan tugas sebagai guru pada tahun 1980 dahulu. Di SMK Tembangau ini sudah ada KIP (rumah guru) untuk guru-guru. Tahun 1980an dulu saya masih ingat kami sama ada tinggal dengan peneroka yang sanggup menerima kami sebagai keluarga angkat atau tinggal di rumah peneroka yang tidak ada penghuninya lagi. Jika rumah peneroka ini kami tinggal sekurang-kurangnya 8 orang dalam rumah asal peneroka felda yang merupakan rumah kayu 1 bilik, bayangkan keadaannya. Ada juga yang tinggal dalam stor di sekolah yang telah dijadikan tempat penginapan guru.

Di SMK Tembangau lebih selesa, hanya agak jauh dari bandar. Walau bagaimanapun selamat bertugas di felda Tembangau, Pahang. Semoga "abang" panggilan anak sulung saya, Ahmad Nortaufiq, menjadi guru yang baik dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Selamat bertugas.