Alhamdulillah, hari ini semua calon PMR telah menyelesaikan tugas masing-masing. Jangan fikirkan kesilapan dan kesalahan yang telah dibuat semasa menjawab. Jangan fikirkan juga kesilapan yang telah dibuat sepanjang tahun semasa tingkatan tiga, malahan mungkin semua kesilapan sepanjang masa dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Tidak ada perlunya menyesali semua yang telah berlalu. Apa yang penting ambillah iktibar dengan kesilapan langkah pada masa lalu, semoga tidak melakukan kesilapan lagi. Jika terus melakukan kesilapan dan kesalahan yang sama berulang-ulang tanpa membaikinya kita tidak akan menjadi bangsa yang berjaya.
Apa yang perlu kita buat pada masa sekarang. Bagi saya, semua pelajar perlu menyemak diri masing-masing dari awal hingga sekarang. Rujuk dengan pasti, adakah kita pernah melakukan kesalahan kepada kedua ibu bapa kita. Sekecil mana sekalipun kesilapan kita, jumpa mereka dan minta maaf. Dengan cara ini kedua-dua mereka akan meredhai diri para pelajar. Ini amat penting. Dalam tempoh menunggu keputusan PMR (hingga Disember 2011), lakukan doa dan sembahyang hajat (bagi yang Islam), atau aapa cara sekalipun mengikut kepercayaan agama masing-masing. Pohonlah bantuan Tuhan untuk memastikan jawapan masing-masing akan disemak atau diperiksa dengan baik oleh para pemeriksa dan tidak ada masaalah berlaku dalam proses menyediakan keputusan masing-masing.
Saya percaya, jika masing-masing telah berusaha dan menyerahkan semuanya kepada Allah, insyaAllah Tuhan akan membalas yang sebaik mungkin atas usaha masing-masing. Saya biasa mengatakan bahawa Tuhan akan memberi rezeki dan ilmu kepada semua umat manusia tanpa membeza-bezakan siapa kita. Sebagai manusia, kita hanya perlu bersiap sedia dari awal dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkannya.
Jangan melakukan dosa, sepanjang masa mernunggu keputusan peperiksaan. Malah sepatutnya sepanjang masa, selagi nyawa kita masih ada, jangan hampiri segala jenis aktiviti yang menjerumuskan kita kepada menghimpun dosa. Takut apabila terlalu banyak dosa, doa kita tidak akan dikabulkan oleh Allah. Malah kita takut jika kita berjaya sekalipun, tetapi hidup kita tidak bahagia dengan kejayaan kita itu.
Isilah masa kita dengan segala aktiviti yang berfaedah. Sekurang-kurangnya marilah kita berfikir sejenak setiap hari tentang hal-hal yang boleh mendatangkan faedah.
Semoga semua pelajar akan diberkati Allah dalam PMR masing-masing. Amin. Amin......