08 Januari 2010

MINGGU PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN / MINGGU PERTAMA TAHUN 2010

Minggu ini persekolahan dan kerja pejabat bermula pada 04 Januari hinggalah 08 Januari 2010.

Pada 04 Januari permulaan kerja sesi 2010, kebanyakan pegawai di PPD menjalankan kerja dan tugas pemantauan awal persekolahan di sekolah-sekolah yang telah ditetapkan oleh Sektor Pengurusan sekolah. Saya kebanyakannya menghabiskan tugas di pejabat, seperti menguruskan pertukaran murid dan melayan tetamu yang datang ke pejabat kerana menghadapi masalah-masalah persekolahan anak-anak mereka.

Pada 05 Januari 2010 masih menguruskan perkara yang sama termasuk tugas harian perkhidmatan dan berkaitan pengurusan kewangan di pejabat. Apa lagi semua perkara harian di pejabat.

Pada 06 Januari 2010, saya bergerak ke luar, iaitu ke Kg Sungai Nilam di Sungai Selisek. Saya bersama Kaunselor (Tn hj Ruslan) dan Penolong Penyelia HEM (Tn Hj Rasidi) kerana mendapat perkhabaran tentang ada keluarga mempunyai anak-anak yang tidak bersekolah. Inilah kali pertama saya masuk ke kawasan perkampungan ini walaupun sudah biasa lalu lalang melalui jalan di Sungai Selisek ini semenjak tahun 1980 lagi. Kami balik dan singgah di Kg Air Panas, Kerling kerana menziarahi satu lagi keluarga yang dikatakan mempunyai keadaan yang hampir sama. Sebelah petang saya meneruskan tugas dan tanggungjawab di pejabat sahaja.

Pada 07 Januari 2010, pukul 11 pagi saya mewakili Tn PPD ke Ulu Yam Wood Resort kerana menghadiri majlis penutup program Jabatan Hal Ehwal orang Asli Hulu Selangor bersama ibu bapa orang Asli kawasan Kg Kuantan dan Kg Gurney. Timbalan Pengarah JHOA Selangor-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut bersama dalam majlis berkenaan. Selesai majlis ini saya bergegas balik ke Kuala Kubu bharu kerana diamanahkan oleh Tn PPD untuk mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSSD kali pertama. Sampai sahaja di pejabat, mesyuarat terus dijalankan.

08 Januari 2010, saya ke Selayang untuk servis kereta saya. Catatan inipun saya buat semasa berada di pusat servis Toyota Selayang. Kereta saya dijangka dapat diselesaikan pada pukul 11.30 tengah hari. Selesai di sini saya akan ke Shah Alam kerana Tn PPD meminta saya menggantikannya menghadiri mesyuarat di JPN Selangor, iaitu mesyuarat Jawatankuasa Promosi NKRAs peringkat negeri. Saya akan sambung catatan ini sebelah malam nanti jika berkesempatan. Jumpa lagi.

Sila ambil perhatian kepada semua Pengetua dan Guru Besar, hasil daripada mesyuarat siang tadi:

SATU PROGRAM PROMOSI NKRAs PENDIDIKAAN AKAN DIADAKAN:

PADA: 18 JANUARI 2010 (ISNIN)

TEMPAT: KOMPLEKS BELIA DAN KEBUDAYAAN NEGERI SELANGOR,SEKSYEN 7, SHAH ALAM.

MASA: 8.30 PAGI.

Surat rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi. Sebarang pertanyaan sila hubungi saya dengan menggunakan talian yang tertera pada blog ini.

Tentatif Program pada hari tersebut:
7.30 - 8.20 pagi - Pendaftaran.
8.30 - 8.45 pagi - Negaraku
- Bacaan doa

8.45 - 9.45 pagi - NKRA 1-Prasekolah.
9.45 - 10.45 pagi - NKRA 2-Literasi dan Numerasi (LINUS)
10.45-11.15 pagi - KUDAPAN.
11.15-12.15 pagi - NKRA 3 - Sekolah Berprestasi Tinggi
12.15-1.15 t hari - NKRA 4 - Tawaran Baru Untuk Pengetua / Guru Besar

Semoga tentatif program ini dapat memberi gambaran kepada semua untuk bersedia hadir ke program ini. Semoga masing-masing boleh bersedia untuk bersarapan terlebih dahulu. Rasanya tidak ada hidangan makan tengah hari akan disediakan kepada semua peserta.