12 Oktober 2011

APAKAH TUGAS KITA SEBAGAI GURU SEBENARNYA?

Saya bercadang menuliskan kembali catatan daripada buku " Guru Jutawan Akhirat" susunan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor.

Kita renung kembali tugas seorang guru. Tugasnya hari ini dilihat semata-mata sebagai tenaga pengajar mengikut kelayakan keilmuan dan akademik yang dimiliki. Namun hakikatnya, tugas guru bukan terhenti sebagai pelaksana pendidikan sahaaja. Guru juga bertanggungjawab membentuk keperibadian anak didik. Sebagai agen perubahan kerena mereka diamanahkan untuk membentuk jiwa, nurani dan intelektual generasi.

Tugas membentuk generasi bukan tugas yang mudah. Bukan tugas yang dapat dilaksana seorang diri. Tugas ini memerlukan komitmen kumpulan. Dan, jika melakukan tugas ini secara kolektif, sebenarnya kita sedang melakukan apa yang Allah suka, apa yang Allah s.w.t minta kita buat.

Mengenangkan tugas yang semakin menggunung. Bukan tak buat, tapi semakin hari semakin banyak yang perlu kita lakukan. Ada lagi gesaan untuk kita menyelesaikan tugasan itu bersama teman-teman seperjuangan kita. Firman Allah:

"Bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa" (Surah at-Taubah:2)

Apa lagi, ayuh kita bergerak sebagai satu pasukan untuk membina generasi yang telah diamanahkan kepada kita. Tidak kira bidang apapun, masing-masing mempunyai peranan. Saling melengkapi antara satu sama lain. biar masuk surga sama-sama. Sama-sama merasai nikmat yang sangat agung yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.

Mari kita sama-sama duduk semeja, berbincang tentang generasi yang perlu kita bina dari pelbagai sudut. Jangan sesekali kita merasakan, mereka bukan anak kita, jadi bukan tanggungjawab kita.

Ketahuilah, jika kita melakukan kerja-kerja membina ummah, membangunkan modal insan ini, sebenarnya kita membina satu jalan untuk ke syurga. Jadi turut samalah menjejaki rakan-rakan guru yang telah membuka jalan untuk kita. Bantulah mereka untuk menjalankan kem-kem ibadah, kelas-kelas tambahan, hatta kerja-kerja membangunkan fizikal seperti sukan dan kokurikulum. Biarpun kecil peranan yang kita mainkan, namun ingatlah firman allah s.w.t:

"Barang siapa yang melakukan kebaikan walaupun sekecil zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam suratan amal)" (surah al-Zalzalah :7)

Mudahnya!

Atau jika kita sebagai penggerak sesuatu jawatankuasa, lihatlah keliling kita, rakan-rakan sekerja yang mungkin tidak sedar kita sedang menjalankan sesuatu program, ajaklah mereka, beri kata-kata perangsang dan dorongan. Bawalah mereka bersama untuk menikmati syurga yang telah dijanjikaan. Sesungguhnya syurga itu amat luas, pasti lebih hebat nikmat syurga jika kita dapat rasai bersama keluarga dan teman-teman.



11 Oktober 2011

PMR SELESAI ADAKAH TUGAS PELAJAR TINGKATAN TIGA TELAH TAMAT?

Catatan ringkas saya pada hari ini saya tujukan khas kepada pelajar tingkatan tiga SEMEKAP.

Alhamdulillah, hari ini semua calon PMR telah menyelesaikan tugas masing-masing. Jangan fikirkan kesilapan dan kesalahan yang telah dibuat semasa menjawab. Jangan fikirkan juga kesilapan yang telah dibuat sepanjang tahun semasa tingkatan tiga, malahan mungkin semua kesilapan sepanjang masa dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Tidak ada perlunya menyesali semua yang telah berlalu. Apa yang penting ambillah iktibar dengan kesilapan langkah pada masa lalu, semoga tidak melakukan kesilapan lagi. Jika terus melakukan kesilapan dan kesalahan yang sama berulang-ulang tanpa membaikinya kita tidak akan menjadi bangsa yang berjaya.

Apa yang perlu kita buat pada masa sekarang. Bagi saya, semua pelajar perlu menyemak diri masing-masing dari awal hingga sekarang. Rujuk dengan pasti, adakah kita pernah melakukan kesalahan kepada kedua ibu bapa kita. Sekecil mana sekalipun kesilapan kita, jumpa mereka dan minta maaf. Dengan cara ini kedua-dua mereka akan meredhai diri para pelajar. Ini amat penting. Dalam tempoh menunggu keputusan PMR (hingga Disember 2011), lakukan doa dan sembahyang hajat (bagi yang Islam), atau aapa cara sekalipun mengikut kepercayaan agama masing-masing. Pohonlah bantuan Tuhan untuk memastikan jawapan masing-masing akan disemak atau diperiksa dengan baik oleh para pemeriksa dan tidak ada masaalah berlaku dalam proses menyediakan keputusan masing-masing.

Saya percaya, jika masing-masing telah berusaha dan menyerahkan semuanya kepada Allah, insyaAllah Tuhan akan membalas yang sebaik mungkin atas usaha masing-masing. Saya biasa mengatakan bahawa Tuhan akan memberi rezeki dan ilmu kepada semua umat manusia tanpa membeza-bezakan siapa kita. Sebagai manusia, kita hanya perlu bersiap sedia dari awal dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkannya.

Jangan melakukan dosa, sepanjang masa mernunggu keputusan peperiksaan. Malah sepatutnya sepanjang masa, selagi nyawa kita masih ada, jangan hampiri segala jenis aktiviti yang menjerumuskan kita kepada menghimpun dosa. Takut apabila terlalu banyak dosa, doa kita tidak akan dikabulkan oleh Allah. Malah kita takut jika kita berjaya sekalipun, tetapi hidup kita tidak bahagia dengan kejayaan kita itu.

Isilah masa kita dengan segala aktiviti yang berfaedah. Sekurang-kurangnya marilah kita berfikir sejenak setiap hari tentang hal-hal yang boleh mendatangkan faedah.

Semoga semua pelajar akan diberkati Allah dalam PMR masing-masing. Amin. Amin......

10 Oktober 2011

KEDUDUKAN KERJA ATAU TUGAS HARIAN SEBAGAI IBADAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Pada bulan Mac 2011 yang lalu saya dihadiahkan sebuah buku oleh PIBG, sebuah sekolah kerana hadir merasmikan mesyuarat agung mereka. Hampir lebih satu bulan baru saya selesai membacanya. Beberapa bahagian buku ini saya ulang pembacaannya. Buku ini amat menarik kepada saya. Saya berhasrat menulis sedikit intipati daripada satu bahagian tulisan dalam buku ini, untuk bacaan bersama.

Melalui firman Allah, Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Dengan ini boleh kita dikatakan sepatutnya misi hidup manusia ialah beribadah. Kita wajib beribadah 24 jam sehari. Ini tugas sepenuh masa yang perlu dilakukan sepanjang hayat kita. Misi menjadi hamba Allah adalah full-time bukan part-time. Tidak ada istilah pencen atau bersara dalam tugas kita sebagai hamba Allah. Kita boleh bertukar majikan, tetapi bolehkah kita bertukar Tuhan?.

Mungkin ada yang mempersoalkan, "Kalau begitu apakah kita mesti solat, berzikir dan duduk dalam masjid atau duduk atas sejadah sahaja. Rasanya ibadah tidak terbatas pada perlakuan solat, puasa, zakat dan haji semata-mata. Gelanggangnya bukan di masjid atau di surau sahaja.

Ibadah terdiri daripada ibadah ASAS, iaitu ibadah utama yang menjadi asas semua jenis ibadah umat Islam yang lain. Ibadah ini adalah fardu ain yang wajib bagi setiap orang, membentuk hubungan langsung antara manusia (hamba) dengan Tuhannya. Tanpa ibadah asas, keyakinan untuk menghadapi hidup boleh goyang yang boleh menggugat dan tidak ada dorongan dalam diri untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Ibadah SUNAT adalah amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain. Ibadah ini bersifat extra, ibadah yang berfungsi untuk menampung sebarang kekurangan yang pasti berlaku dalam ibadah asas kita. Ibadah sunat juga adalah untuk mendapat kasih sayang Allah.

Ibadah ketiga ialah ibadah UMUM, ialah seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti selain ibadah asas dan ibadah sunat. Ini merangkumi kerja di pejabat, di ladang, malah di mana juga kita bertugas. Kebanyakan ibadah umum melibatkan hubungan kita sesama manusia. Ibadah umum kebanyakan bertaraf fardu kifayah. Kita perlu pecahkan tanggapan sempit setengah anggota masyarakat yang sekian lama membatasi soal fardu kifayah hanya kepada soal solat jenazah dan hal berjamaah sahaja. Sepatutnya ruang lingkupnya lebih luas lagi seperti membina sistem ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan hiburan yang mempunyai tuntutan yang lebih mendesak dan kritikal pada masa kini, semua ini adalah ibadah umum.

Kita solat, memakan masa 7-10 minit dalam satu waktu, jika dikumpul 5 waktu, tidak sampai 1 jam pun. Jika bekerja di pejabat memakan masa 8 jam . Satu hari hanya 1 jam ibadah solat wajib, 23 jam lagi perkara lain. Allah perintahkan kita beribadah 24 jam. Di sinilah rasionalnya, mengapa kerja di pejabat atau guru mengajar di sekolah perlu dijadikan ibadah (ibadah umum)

Kita biasanya tahu tetapi tidak sedar bahawa kerja itu satu ibadah.

Kerja itu satu ibadah. Itu satu hakikat. malangnya, ramai di kalangan kita umat Islam hanya tahu kerja itu satu ibadah tetapi tidak sedar ia satu ibadah. Apa bezanya antara tahu dan sedar?. Tahu itu hanya di kepala (dalam pemikiran) manakala sedar itu di hati (penghayatan). Antara sedar dan tahu bukan sahaja berbeza makna, malah berbeza juga implikasinya.

Orang yang hanya mengetahui kerja itu satu ibadah, cara kerjanya tidak bersungguh-sungguh, tidak amanah dan tidak bertangggungjawab berbanding orang yang menghayatinya. Inilah yang menyebabkan ibadah umum tidak ditangani dengan sebaik-baiknya berbanding ibadah asas. Hampir tidak pernah kita mendengar seorang yang solat Subuh (secara bersendirian) memotong bilangan rakaat menjadi satu, walau bagaimana letih, mengantuk atau uzur sekalipun dirinya. Ya, begitulah amanah.

Malangnya kita selalu mendengar bahawa ada orang ponteng, curi tulang, bermain-main, membuang masa dan tidak sungguh-sungguh semasa bekerja. Berbeza bukan, padahal solat Subuh itu ibadah dan kerja itu juga ibadah.

Begitu juga, jarang-jarang berlaku orang Islam mencuri minum atau makan sewaktu berpuasa bulan Ramadan, tetapi perbuatan rasuah, sogok dan menipu kerap berlaku dalam urusan perniagaan dan pekerjaan. bukankah sepatutnya kita wajib menjadi hamba Allah di dalam solat dan luar solat, semasa berpuasa atau berniaga?. ini adalah bukti, menunjukkan betapa ramai umat Islam tidak sedar bekerja, berniaga dan lain-lain aktiviti dalam kehidupan adalah satu ibadah.

Apakah syarat untuk menjadikan kerja itu sebagai ibadah?.
Tidak semua aktiviti dan pekerjaan jadi ibadah dengan begitu mudah. Ada syarat tertentu kerja boleh menjadi ibadah. Pekerjaan tidak akan menjadi ibadah walau seikhlas mana orang yang mengerjakannya, sekiranya kerja itu melibatkan arak, riba, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-laintermasuk tidak menyempurnakan masa dan tugasan kerja dengan baik dan sempurna, yang tidak diterima dalam Islam. Ada yang beranggapan asalkan tujuan pekerjaan itu baik, maka boleh dianggap ibadah. Ini juga tidak betul, kerana dalam Islam, tujuan tidak pernah menghalalkan cara. tujuan yang baik mesti dilaksanakan dengan cara yang baik. Kerja ala Robin Hood, yang mencuri harta orang kaya diberi pada orang miskin, tidak akan dianggap sebagai ibadah.

Niat yang baik dan ikhlas sahaja tidak memadai untuk menjadi ibadah. Niat yang baik itu perlu dikaitkan terus dengan Allah s.w.t, maka katakan dalam diri kita seperti:

"Aku bekerja untuk mendapat rezeki yang halal kerana Allah menuntutku mencari rezeki yang halal"
"Aku bekerja untuk menyara dan membela keluarga kerana itu diwajibkan Allah ke atas diri ku sebagai ketua keluarga"
"Aku bekerja untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara kerana
Rasullah menegaskan sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain"

Intipati atau teras ibadah mestilah bersifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang menghasilkan nilai-nilai yang lain. ikhlaslah yang melahirkan nilai integriti, produktiviti dan kualiti, termasuk nilai murni dalam pekerjaan kita. Ikhlas adalam pemantau dalaman yang menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus, benar, sebelum, semasa dan selepas sesuatu pekerjaan dilakukan. Manakala tidak ikhlas pula menjadi punca timbulnya gejala nagetif seperti rasuah, tidak cekap dan sambil llewa dalam bekerja.

Apakah itu ikhlas dalamHuruf condong bekerja?. Secara mudah ia adalah kebersihan hati dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Apa yang diharapkan hanya keredaan Allah. Mungkin ada yang bertanya, bolehkah seseorang yang ikhlas menuntut gaji daripada pekerjaannya? Malah ada yang lebih sinis mengatakan, kalau benar-benar ikhlas janganlah menuntut sebarang ganjaran daripada pekerjaan kita.

Soalan ini menjurus kepada satu persoalan. Soalan ini tidak boleh dijawab tanpa kembali merujuk kepada soal teras dan asas dalam kehidupan. dalam hidup ini terdapat dua persoalan. pertama, tujuan hidup dan kedua, keperluan hidup.

Keperluan hidup seperti makanan, pakaian, rumah, kenderaan dan kehendak yang bersifat fizikal dan material. Tujuan hidup dalam Islam untuk beribadah yang melibatkan iabadah asas, ibadah sunat daan ibadah umum.

Kita tidak diajar memburu keperluan hidup dengan meminggirkan tujuan hidup. Tetapi hakikatnya, ramai yang berbuat demikian. Mereka fikirkan untuk mendapatkan makan minum, rumah selesa, kenderaan yang baik dan kehendak material semata-mata. Oleh kerana wang diperlukan untuk mendapatkan semua itu, maka bekerjalah mereka nsemata-mata untuk mendapat gaji (wang). Pada ketika itu keperluan hidup telah bertukar menjadi tujuan hidup. Islam mengajar supaya kita mengejar kedua-duanya iaitu keperluan hidup dan tujuan hidup, kerana kedua-duanya diperlukan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Namun jika diajukan soalan antara tujuan hidup dan keperluan hidup mana yang lebih penting?. Jawapan sepatutnya mestilah,tujuan hidup. Ini boleh kita buat analogi antara galah dan buah yang hendak dijolok. Galah penting kerana dengan galah kita boleh kait buah, tetapi tentu buah lebih penting kerana yang hendak kita makan ialah buahnya, bukan galahnya. Senang itu penting, tetapi tenang itu lebih penting. Apa gunanya kita senang tetapi tidak tenang.

Jadi marilah kita bekerja berdasar ibadah (tujuan hidup) bukan untuk mendapat gaji sahaja (keperluan hidup). Walaupun ikhlas itu tidak menafikan kita mendapat gaji, tetapi itu bukanlah matlamat utama dan pertama kita. Indahnya Islam kerana muslim boleh bekerja untuk mendapatkan keperluan dan tujuan hidup dalam satu masa. Kerja itulah untuk mendapat laba(gaji) dan kerja itu juga (jika menepati syaratnya) akan menjanjikan pahala. ingatlah kita, bahawa orang ikhlas bekerja untuk Tuhan, bukan untuk majikannya. Dalam kerja sebagai ibadah: GOD IS OUR CEO.
Ada sesuatu yang lebih bernilai dan tinggi untuk dicapai oleh orang yang ikhlas, iaitu keredaan, pahala dan keampunan Allah. dengan cara ini, ketenangan dan kebahagiaan (sama ada dalam diri, di tempat kerja dan dalam keluarga) akan tercapai.

" Orang yang ikhlas didorong 'dari dalam ke luar'(inside-out) - kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat. sebaliknya orang tidak ikhlas didorong dari 'luar ke dalam' (outside-in) - ganjaran dan hukuman.

Semoga kita boleh ingat mengingati antara satu sama lain, semoga semua kerja kita akan jadi ibadah, tidaklah semata-mata mendapat laba(gaji) sahaja.

Jumpa lagi di lain ruangan dan di lain kesempatan.



07 Oktober 2011

ADAB DENGAN IBU BAPA

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Pada kesempatan kali ini, saya mengambil peluang untuk mencatatkan beberapa patah ingatan. Ingatan ini saya tuju khas kepada diri saya, kepada semua rakan yang bergelar ibu dan bapa atau bakal ibu atau bapa suatu hari nanti. Semestinga kita pernah mempunyai ibu dan bapa. Tidak lupa juga kepada para pelajar yang mempunyai ibu bapa.

Untuk mewujudkan keseimbangan hubungan sesama manusia, keseimbangan dalam masyarakat dan seterusnya negara, perlu mengambil kira dan bermula daripada hubungan dengan ibu bapa. Perkara ini perlu kekal sebagai hal utama yang menentukan kestabilan hidup seseorang.

Perintah menjaga kedua-dua ibu bapa terkandung daalam perintah Allah bersama ganjaran baik bagi yang memeliharanya dan balasan buruk bagi yang mengabaikannya. Inilah yang dinyatakan Allah kepada manusia dalam firmanNya:

Dan Tuhanmu memerintahkan agar tiidak menyembah selainNya dan kepada kedua-dua ibu bapa agar berbuat baik. Sama ada telah sampai umur tua seorang atau kedua-duanya, jangan kamu ucapkan walau dengan kalimah ah! dan jangan mengherdik mereka dan bercakaplah dengan mereka dengan perkataan yang memuliakan. Dan rendahkan diri di hadapan kedua-duanya dan katakanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani sewaktu kami kecil.

Apakah yang perlu kita lakukan?

1. Berbuat baik kepada ibu bapa dalam erti kata yang luas.. Kebaikan yang kita lakukan kepada manusia lain perlu berlaku kepada ibu bapa kita. Berbuat baik kepada mereka perlu menjadi agenda utama yang perlu disemak setiap hari, minggu dan bulan. Jangan kebaikan kepada orang lain mengatasi kebaikan kepada kedua-dua ibu bapa kita.

2.Tidak mengguris hati mereka dengan percakapan dan tindakan walau sekecil mana percakapan dan tindakan itu. Seandainya kita telah berusaha melakukan kebaikan, ia tidak akan sempurna sehingga kita menghindari daripada mengguris hati mereka.

3.Memilih hanya perkataan yang bersifat mulia apabila bertutur bicara dengan mereka.

4.Merendah diri ketika bersama mereka adalah adab yang wajib dijaga. Walau siapa pun kita, sebesar mana kedudukan kita di luar, tetapi di hadapan ibu bapa, dia perlu merendahkan diri.

5.Sentisa mendoakan mereka sepanjang hayat kita. Allah suka perkenankan doa hambanya yang di dalamnya ada doa kepada kedua orang ibu bapanya.

6.Sentiasa mengenang kebaikan mereka kepada kita sewaktu kecil lagi. Dengan mengenang kebaikan, kita akan sentiasa meletakkan mereka pada kedudukan yang sepatutnya.

Bagaimana kedudukan, apabila ibu bapa yang sudah tiada atau meninggal duniua?
Kematian tidak boleh memisahkan kita dan ibu bapa dari segi adab. Sepatutnya hal ini proses sepanjang zaman demi meraih keredaan Allah. Membantu mereka pada saat begini lebih utama berbanding semasa mereka masih hidup. Rasullah bersabda:
Daripada Abu hurairah r.a. bersabda Rasullah, Apabila telah mati seorang anak Adam, terputus segalanya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak soleh yang mendoakan." (Riwayat Muslim).

Sebenarnya orang yang sering mendoakan orang lain, apatah lagi ibu bapanya yang telah meninggal dunia, akan dibalas. Apabila dia meninggal dunia, Allah akan memberikan hidayahnya kepada anaknya agar sianak dan orang lain akan mendoakannya pula.





6.

05 Oktober 2011

SABAR

Assalamualaikum..
Daripada Abdullah bin Abbas r.a berkata:

Pada suatu hari aku berada di belakang Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: Hai anak! Aku akan mengajarmu beberapa perkataan. Peliharalah Allah, nescaya Dia memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya engkau dapatiNya di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka mintalah kepada Allah. Apabila engkau memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan itu kepada Allah. Dan ketahuilah, sesungguhnya umat itu kalau mereka berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberikannya kepada engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah ditakdirkan oleh Allah atas engkau. Dan jika merekaa duduk untuk membahayakan engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat membahayakan engkau kecuali dengan sesuatu yang sudah ditakdirkan oleh Allah atas engkau. Telah ditakdirkan sesuatu itu sebagai perkara yang telah ditetapkan.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi ada disebut.

"Peliharalah Allah ,nescaya engkau dapati Allah di hadapan engkau. Kenalilah Allah pada masa lapanng, nescaya Dia kenaal engkau pada masa susah. Dan ketahuilah! Sesungguhnya apa-apa yang (ditakdirkan) bukan kepada engkaau, tidaklah ia kena paada engkau. Tetapi apa yang kena pada engkau tidaklah tersalah kena pada engkau. Dan ketahuilaah! Sesungguhnya kemenangan itu disertaikan dengan kesabaran. Dan sesungguhnya berserta kesusahan ada kelapangan. Dan sesungguhnya berserta kesusahan ada kemudahan."

Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yaang terpuji ialah sabar mengerjakan taat kepada Allah s.w.t. , menjauhi segala maksiat yang dilarangNya dan sabar menerima segala takdirNya.Tetapi antara sifat sabar sebenarnya, sifat sabar kerana menegerjakan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama, lebih utama daripada sabar menerima segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan

Menurut Ahlus Sunnah wal Jama'ah, sabar ialah salah satu daripada tangga-tangga ibadat baahkan ia merupakan darjat dan tangga ibadat yang paling agung. Allah s.w.t. menyebut lebih 90 kali pada pelbagai tempat dalam al-Quran; adakalanya dengan memuji kesabaran itu sendiri, adakalanya memuji orang-orang sabar di sisi Allah s.w.t dan darjat yang disediakan oleh Allah untuk mereka. Dalam Islam, sabar ada tiga daarjat:

1. Sabar terhadap ketaatan.
2.Sabar terhadap kemaksiatan.
3.Sabar terhadap ketentuan dan musibah.

Darjat sabar yang paling agung ialah sabar terhadap ketaatan. Oleh kerana ia sabar yang paling agung yang diharapkan, maka tatkala kita melaksanakan ketaatan, hendaklah kita bersabar terhadapnya dan menyabarkan dirimu, supaya kamu sentiasa tetap melaksanakan sesuai dengan bentuk yang paling sempurna, dengan segala kekhusyukan dan kepatuhan.



Sabar terhadap kemaksiatan, iaitu tatkala jiwa kita sentiasa disuruh melakukan kejahatan yang membinasakan diri, lalu kita bersabar menolaknya dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah s.w.t. Sabar menerima takdir Allahs.w.t, dilakukan apabila Allah menetapkan takdirNya atas kita dan untuk meringankan dosa-dosa kita atau meninggikan darjat kita.

Apabila hal ini sudah diketahhui, maka salah satu ciri yang dimiliki oleh para kekasih Allah adalah sabar dan disertakan keyakinan yang kuat.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah ditanya: "Bagaimanakah cara memperoleh sesuatu kepimpinan dalam agama?" Dia menjawab: "Dengan kesabaran dan keyakinan, bukankah kamu pernah mendengar firman Allah s.w.t dalam surah al-Sajdah, ayat 24:

Maksudnya: Dan kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka bersabar (sabar dalam menegakkan kebenaran) Dan mereka meyakini ayat-ayat Kami.

Setiap hamba Allah s.w.t yang soleh akan diuji oleh Allah s.w.t dengan pelbagai musibah. Ada yang diuji dengan harta benda, lalu dia kehilangan harta bendanya itu. Ada juga yang diuji dengan akalnya sehingga akalnya hilangdan dia menjadi bodoh. Ada juga yang diuji fizikal, sehingga ada sebahagian daripada anggota tubuh dan pancainderanya tidak berfungsi.

Ada juga yang diuji pada kaum keluarga seperti anaknya, yang diculik orang atau meninggal atau pergi menghilang diri dan tidak kembali. Ada juga yang diuji dengan harga diri, dengan tuduhan yang tidak dilakukannya. Tuduhan itu juga tidak layak untuknya, tetapi dia tetap sabar dan mengharapkan pahala hanya daripada Allah.

Allah telah berfirman hal berkaitan dalam surah al Baqarah ayat 153:

Maksudnya: Hai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan sembahyang sebagai penolongmu sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Allah juga berfirman dalam surah Ali'Imran, ayat 200:

Maksudnya: Wahai orang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenagan).

Nabi s.a.w pernah bersabda;
Maksudnya: "Sesungguhnya adakalanya Allah telah menyediakan satu darjat bagi seseorang tetapi tidak dapat dicapai hanya dengan amalannyanya sehingga dia diuji dengan bala yang menimpa pada jasmaninya, maka barulah tercapai darjat itu."

Terdapat kata-kata pujangga: Kejayaan adalah hasil daripada kerja kuat, penderitaan, luka, pengorbanan dan kecemasan. Sedangkan kegagalan adalah hasil daripada kemalasan, tidak mempunyai target, tiada perasaan minda dan tidak bersemangat.

Berbanding kesabaran yang diterangkan di atasnya, rasanya kesaabaran dalaam segala hal biasa di dunia ini adalah perlu juga kerana kesabaran itu akan memastikan sabar yang tiga tahap tadi baru mungkin mampu kita capai. Selepas kita mampu bersabar dalam hal kehidupan kita barulah kita mampu bersabar dalam ketaatan, sabar dalam kemaksiatan dan sabar terhadap ketentuan dan musibah.

BEKERJA SEPERTI BERMAIN BOLA DALAM PERTANDINGAN BOLA SEPAK

Assalamualaikum dan selamat 1Malaysia..

Tulisan ini saya adaptasikan daripada tulisan Dr. Fadzilah Kamsah. Selepas saya bersembang kosong tentang pertandingan bola sepak Liga Enggeris bersama En Mohd Suhaimi, Penolong Kanan HEM saya, terlintas pula untuk kaitkan permainan itu dengan kerja kita di manapun kita bertugas.

Beliau menulis tentang kita bekerja seperti bermain bola sepak.

Cuba bayangkan kita sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca televisyen. Kedua-dua pasukan yang bertanding begitu ghairah berebut, menyepak, menangkis, menendang dan menolak bola ke sana ke mari. Tetapi cuba kita bayangkan mereka bermain bola tanpa pintu gol?. Mustahil ada perlawanan bola sepak tanpa pintu gol?. Apa tujuan mereka beraksi dengan hebat, sudah pasti bermain bola tanpa pintu gol, bermain bola tanpa tujuan dan matlamat.

Saya beranggapan perkara ini sama dengan pengurusan kerja dan masa kita, mesti ada matlamat. Ada matlamat jangka panjang dan ada matlamat jangka pendek, seolah-olah "pintu gol" kepada kerja-kerja kita. Apa gunanya kita menendang dan merebut bola dalam pertandingan bola sepak tanpa ada pintu gol. Keadaan ini sama dengan kerja dan tugas harian kita yang tidak mempunyai matlamat. Apa yang kita peroleh, kebanyakannya hanyalah penat. sekurang-kurangnya berniatlah untuk memastikan kita mendapat pahala dan keredaan Allah dalam kerja yang dilaksanakan.

Jika kita rujuk kepada Islam, Nabi Muhammad (s.a.w) telah memberi nasihat.
"Sesungguhnya setiap amalan perlu dimulakan dengan niat". Oleh itu kita perlu berniat . Apa sahaja tugas dan amalan yang dilakukan perlu diniatkan dahulu supaya menjadi ibadah. Niat boleh dianggap sebagai merancang apakah perkara yang hendak dicapai daripada perbuatan itu. sebagai contoh solat. Jika menjadi imam ada niat seperti "Saya solat Zohor empat rakaat sebagai imam kerana Allah Taala. Niat ini merangkumi, apa perbuatan yang hendak dilaksanakan, apa jenis, bagaimana kaedah, apa hendak dicapai daripada perbuatan itu.

Jika diperinci daripada kerja solat yang dinyatakan, kita boleh lihat aspek berikut:
Kerja : Solat
Jenis : Zohor, empat rakaat.
Bagaimana : Secara berjamaah.
Matlamat : Kerana keredaan Allah.

Jika kita adaptasi teori ini kepada permainan bola:
Kerja : Main Bola Sepak.
Jenis : Sebelas sebelah, posisi penyerang.
Bagaimana : 4-3-4 menyerang dan bertahan.
Matlamat : Menang perlawanan dengan kelebihan 2 gol.

Itu sebabnya kita boleh katakan, belajar,bekerja dan lain-lain aktiviti kita seperti orang bermain bola.

Jika kita padankan situasi ini dengan tugas murid di sekolah:
Kerja : Belajar.
Jenis : 8 mata pelajaran berdaftar.
Bagaimana : Fokus dalam kelas, ikut arahan guru dan tanpa ponteng sekolah.
Matlamat : Berjaya atau lulus cemerlang 8 mata pelajaran.

Teori ini boleh diadaptasikan atau disesuaikan kepada semua jenis aktiviti yang menampakkan matlamat kita dengan jelas.

Di samping perkara di atas, seorang pakar motivasi, Dr Asmadi mengemukan teori 3S untuk kita berjaya. 3S itu ialah Sasaran,strategi dan sikap. Dengan ini boleh dikatakan, kejayaan tidak dapat dicapai apabila tiada sasaran ditetapkan. Selepas mempunyai sasaran, aturlah strategi dan laksanakan strategi tersebut. Pada masa yang sama kita ada sikap positif untuk mencapai matlamat (sasaran) tersebut.

Teringat pula saya kata-kata KPPM (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) sekarang. Beliau menyatakan untuk capai kecemerlangan kita diajak bekerja dengan formulanya, iaitu X-PLUS.

X ialah kecemerlangan.
P Pengetahuan.
L Latihan.
U Usaha.
S Sepasukan.

Formula ini amat jelas dalam kerja-kerja dalam sebuah organisasi. Saya ingin menyesuaikannya untuk para pelajar. Pengetahuan dan latihan memang penting, biasa diperoleh dalam kelas dengan batuan guru dalam kelas. Usaha, ada dalam diri para murid masing-masing. Sepasukan, saya sesuaikan dengan wujudkan pasukan belajar masing-masing. Belajar dan mengulangkaji dalam kumpulan adalah amat efektif berbanding secara bersendirian.

Kesimpulannya, semua orang boleh dan berhak untuk merancang dan mencapai kejayaan, dan cemerlang.

04 Oktober 2011

PERUBAHAN BLOG EN ROZALI BIN MAZLAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Mulai hari ini blog lama saya aktifkan semula, tetapi saya jadikan sebagai blog Pengetua SMK Ampang Pecah. Mulai 5 September 2011, secara rasmi saya mula bertugas di SMK Ampang Pecah.

Terima kasih kepada semua warga PPD hulu Selangor khasnya Tuan PPD, Tn Hj Abdul Khalid bin Hj Jaafar,yang banyak memberi galakan dalam saya menjalankan tugas semasa di PPD Hulu Selangor.

Tidak lupa kepada semua rakan pegawai di PPD Hulu Selangor yang banyak membantu saya selama berada di PPD hulu Selangor. Tidak lupa kepada semua kaki tangan sokongan PPD Hulu Selangor.

Terima akasih juga saya ucapkan kepada warga SMK Ampang Pecah kerana dapat menerima saya dan sama-sama memastikan masa depan SMK Ampang Pecah akan berada pada kedudukan yang terbaik.

Menyentuh tentang penggunaan blog, perkara ini pernah saya impikan semasa peringkat awal saya berada di PPD Hulu Selangor. saya pernah mencadangkan kepada semua penyelaras makmal komputer sekolah supaya berusaha mewujudkan blog makmal komputer masing-masing. Saya berhasrat pada masa itu untuk merangkaikan semua blog makmal komputer tersebut supaya semua makmal komputer sekolah daerah yang berada di bawah pemantauan saya, pada masa itu dapat dirangkaikan menggunakan blog. Secara tak langsung blog dapat digunakan secara positif.

Apabila saya sampai ke SMK Ampang pecah secara rasminya, penyelaras ICT sekolah ini telah mengambil tindakan positif untuk warga SMK Ampang Pecah. Di sekolah ini semua panitia dan unit yang beroperasi di sekolah ini telah mempunyai blog. Sila rujuk http://smkapkkb.blogspot.com untuk kepastian. Tahniah kepada Pn Saemah kerana mengusahakan hal ini. Saya berasa bangga kerana idea yang pernah saya cetuskan suatu ketika dahulu dapat dijadikan kenyataan di sekolah ini. Ini sebuah sekolah Bestari yang secara kebetulan pihak pengurusan PPD dan Jabatan Pelajaran Selangor meminta saya menjadi Pengetuanya.

Saya amat yakin dengan komitmen semua warga sekolah, termasuk para pelajar, melalui Briged Siber akan mampu menggunakan pelbagai kemudahan ICT untuk merealisasikan VISI dan MISI sekolah, malahan visi dan misi PPD, JPN dan KPM sendiri:

visi SEMEKAP ialah:
Sekolah Unggul Penjana Generasi terbilang.

Misi ialah:
Membangunkan Potensi individu Melalui Pendidikan Berkualiti Berteraskan Pengupayaan ICT

visi dan misi ini sama antara sekolah, PPD, JPN Selangor dan KPM, hanya beza pada penghujung ayat misi iaitu " Berteraskan Pengupayaan ICT"

Saya percaya dengan komitmen semua warga sekolah perkara ini dapat dicapai.

Terima kasih semua.