17 Januari 2012

PERJALANAN MENGHANTAR ANAK UNTUK PENEMPATAN BERTUGAS SEBAGAI GURU DI PAHANG


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Pada 16 dan 17 Januari 2012, saya bercuti kerana menguruskan anak sulung yang ditempatkan sebagai guru di Pahang.

Mulai pukul 5.00 pagi kami bertolak ke PPD Temerloh seperti yang diarahkan. Singgah di Petronas berdekatan laluan di Bentong untuk solat subuh. Nama sekolah masih tidak diketahui. Semua guru baru seluruh Pahang dipanggil ke Temerloh untuk mendengar taklimat daripada JPN Pahang. Mungkin ini kaedah yang digunakan oleh negeri Pahang supaya bakal guru ini tidak ada peluang dan kesempatan untuk membatalkan penempatan yang diberikan.

Pukul 7.30 pagi kami sampai di Temerloh. Malangnya taklimat memakan masa yang terlalu lama. Selesai hanya mencecah waktu pukul 1.30 tengah hari. Guru baru ini diarahkan supaya melapor diri pada hari yang sama. Bayangkan dalam keadaan yang tidak pasti di mana sekolah dan situasinya, perkara ini perlu dilaksanakan juga.

Nasib baik anak saya ada rakan yang akan mendaftar di sekolah yang sama pada hari tersebut. Secara kebetulan dia memang berasal dari Pahang juga. kami bertolak dari Temerloh segera tanpa memikirkan apa-apa keperluan untuk tinggal di tempat baru. Kami cuba melalui felda Teriang. Nasib tidak baik kerana jalan ini tidak boleh digunakan. Selepas dinasihatkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas di laluan felda Teriang kami mengubah laluan.

Kami mengikut laluan Pekan Teriang, mengikut pekan Bera, terus ke Pekan Kemayan. Saya ingat pada mulanya felda Kemayan. Setelah diamati daripada surat yang diterima, bukan felda Kemayan. Perjalanan diteruskan melalui jalan ke Bahau, Negeri Sembilan. Memang kami melintasi sempadan Negeri Sembilan. Akhirnya kami masuk semula ke daerah Bera, iaitu sebuah felda yang tidak pernah saya sampai dan tidak pernah saya dengar namanya. Akhirnya sampai ke sekolah: SMK Tembangau di Felda Tembangau. Sampai waktu selepas pukul 4.00 petang. Nasib baik dapat berjumpa Pengetua, En Rofli bin Mohamed. Semua diuruskan, termasuk penginapan awal menumpang di rumah guru bujang lain untuk sementara waktu.

Sebagai perbandingan penempatan pertama saya sebenarnya adalah di felda negeri Selangor... felda Sg Dusun atau nama sekarang felda Kg Soeharto. Felda ini tidak terlalu jauh berbanding SMK Tembangau. Pekan terdekat Felda ini ialah di Negeri Sembilan, iaitu Bahau, kira-kira 40 km dari sekolah ini. Pusat pentadbiran daerah termasuk PPDnya, PPD Bera terletak di pekan Bera sejauh lebih 65 km daripada sekolah. Jarak dari Temerloh lebih kurang 100 km.

Setidak-tidaknya sekolah felda sekarang tidaklah serupa semasa saya memulakan tugas sebagai guru pada tahun 1980 dahulu. Di SMK Tembangau ini sudah ada KIP (rumah guru) untuk guru-guru. Tahun 1980an dulu saya masih ingat kami sama ada tinggal dengan peneroka yang sanggup menerima kami sebagai keluarga angkat atau tinggal di rumah peneroka yang tidak ada penghuninya lagi. Jika rumah peneroka ini kami tinggal sekurang-kurangnya 8 orang dalam rumah asal peneroka felda yang merupakan rumah kayu 1 bilik, bayangkan keadaannya. Ada juga yang tinggal dalam stor di sekolah yang telah dijadikan tempat penginapan guru.

Di SMK Tembangau lebih selesa, hanya agak jauh dari bandar. Walau bagaimanapun selamat bertugas di felda Tembangau, Pahang. Semoga "abang" panggilan anak sulung saya, Ahmad Nortaufiq, menjadi guru yang baik dan melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas.

Selamat bertugas.