29 Disember 2009

Cikgu Perlu Mengoptimumkan Penggunaan ICT di Sekolah

Kepesatan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya tidak boleh disangkal lagi terutama fungsinya yang boleh dimanfaatkan dalam bidang pendidikan. Di dalam usaha kerajaan membantu guru-guru untuk celik komputer, pelbagai langkah positif telah diambil. Antaranya ialah dengan menyediakan prasarana lengkap seperti kemudahan ‘Laptop’, ‘Laser Printer’ dan ‘Wireless Internet’ di makmal komputer sekolah yang membabitkan pelaburan yang tinggi.

Tidak hanya untuk kepentingan cikgu dan murid di sekolah bandar sahaja, segala kemudahan ICT yang disediakan kerajaan turut membabitkan sekolah-sekolah di luar bandar. Semua ini dilakukan atas dasar untuk memastikan setiap guru atau murid dapat menikmati kemajuan negara dan pada masa yang sama dapat mendekatkan jurang digital. Penubuhan Pusat Internet Desa, Schoolnet, Pusat Komuniti IT, Info Desa, Pembestarian Sekolah dan bermacam lagi program telah dijalankan untuk memastikan setiap murid dan cikgu Malaysia dapat menikmati kemudahan teknologi Internet.

Cikgu digesa agar peka dengan segala bentuk usaha yang dilakukan oleh kerajaan di dalam memperkasakan penggunaan ICT kerana ia melibatkan pelbagai bidang kehidupan. Kesemua infrastruktur ICT yang disediakan oleh pihak kerajaan sewajarnya dioptimumkan penggunaannya agar niat murni untuk melahirkan murid-murid celik IT akan berhasil.

Saya amat percaya bahawa guru perlu menyediakan diri mereka supaya mampu menggunakan kemudahan ICT dengan baik dan berkemampuan. Dengan mempunyai kemahiran, guru-guru akan mampu bersedia sepanjang masa untuk melaksanakan tugasan harian dengan menggunakan ICT dengan sebaik mungkin.