10 Oktober 2011

KEDUDUKAN KERJA ATAU TUGAS HARIAN SEBAGAI IBADAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Pada bulan Mac 2011 yang lalu saya dihadiahkan sebuah buku oleh PIBG, sebuah sekolah kerana hadir merasmikan mesyuarat agung mereka. Hampir lebih satu bulan baru saya selesai membacanya. Beberapa bahagian buku ini saya ulang pembacaannya. Buku ini amat menarik kepada saya. Saya berhasrat menulis sedikit intipati daripada satu bahagian tulisan dalam buku ini, untuk bacaan bersama.

Melalui firman Allah, Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Dengan ini boleh kita dikatakan sepatutnya misi hidup manusia ialah beribadah. Kita wajib beribadah 24 jam sehari. Ini tugas sepenuh masa yang perlu dilakukan sepanjang hayat kita. Misi menjadi hamba Allah adalah full-time bukan part-time. Tidak ada istilah pencen atau bersara dalam tugas kita sebagai hamba Allah. Kita boleh bertukar majikan, tetapi bolehkah kita bertukar Tuhan?.

Mungkin ada yang mempersoalkan, "Kalau begitu apakah kita mesti solat, berzikir dan duduk dalam masjid atau duduk atas sejadah sahaja. Rasanya ibadah tidak terbatas pada perlakuan solat, puasa, zakat dan haji semata-mata. Gelanggangnya bukan di masjid atau di surau sahaja.

Ibadah terdiri daripada ibadah ASAS, iaitu ibadah utama yang menjadi asas semua jenis ibadah umat Islam yang lain. Ibadah ini adalah fardu ain yang wajib bagi setiap orang, membentuk hubungan langsung antara manusia (hamba) dengan Tuhannya. Tanpa ibadah asas, keyakinan untuk menghadapi hidup boleh goyang yang boleh menggugat dan tidak ada dorongan dalam diri untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Ibadah SUNAT adalah amalan sunat seperti solat sunat, puasa sunat, berzikir, membaca al-Quran dan lain-lain. Ibadah ini bersifat extra, ibadah yang berfungsi untuk menampung sebarang kekurangan yang pasti berlaku dalam ibadah asas kita. Ibadah sunat juga adalah untuk mendapat kasih sayang Allah.

Ibadah ketiga ialah ibadah UMUM, ialah seluruh perlakuan, tindakan dan aktiviti selain ibadah asas dan ibadah sunat. Ini merangkumi kerja di pejabat, di ladang, malah di mana juga kita bertugas. Kebanyakan ibadah umum melibatkan hubungan kita sesama manusia. Ibadah umum kebanyakan bertaraf fardu kifayah. Kita perlu pecahkan tanggapan sempit setengah anggota masyarakat yang sekian lama membatasi soal fardu kifayah hanya kepada soal solat jenazah dan hal berjamaah sahaja. Sepatutnya ruang lingkupnya lebih luas lagi seperti membina sistem ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan hiburan yang mempunyai tuntutan yang lebih mendesak dan kritikal pada masa kini, semua ini adalah ibadah umum.

Kita solat, memakan masa 7-10 minit dalam satu waktu, jika dikumpul 5 waktu, tidak sampai 1 jam pun. Jika bekerja di pejabat memakan masa 8 jam . Satu hari hanya 1 jam ibadah solat wajib, 23 jam lagi perkara lain. Allah perintahkan kita beribadah 24 jam. Di sinilah rasionalnya, mengapa kerja di pejabat atau guru mengajar di sekolah perlu dijadikan ibadah (ibadah umum)

Kita biasanya tahu tetapi tidak sedar bahawa kerja itu satu ibadah.

Kerja itu satu ibadah. Itu satu hakikat. malangnya, ramai di kalangan kita umat Islam hanya tahu kerja itu satu ibadah tetapi tidak sedar ia satu ibadah. Apa bezanya antara tahu dan sedar?. Tahu itu hanya di kepala (dalam pemikiran) manakala sedar itu di hati (penghayatan). Antara sedar dan tahu bukan sahaja berbeza makna, malah berbeza juga implikasinya.

Orang yang hanya mengetahui kerja itu satu ibadah, cara kerjanya tidak bersungguh-sungguh, tidak amanah dan tidak bertangggungjawab berbanding orang yang menghayatinya. Inilah yang menyebabkan ibadah umum tidak ditangani dengan sebaik-baiknya berbanding ibadah asas. Hampir tidak pernah kita mendengar seorang yang solat Subuh (secara bersendirian) memotong bilangan rakaat menjadi satu, walau bagaimana letih, mengantuk atau uzur sekalipun dirinya. Ya, begitulah amanah.

Malangnya kita selalu mendengar bahawa ada orang ponteng, curi tulang, bermain-main, membuang masa dan tidak sungguh-sungguh semasa bekerja. Berbeza bukan, padahal solat Subuh itu ibadah dan kerja itu juga ibadah.

Begitu juga, jarang-jarang berlaku orang Islam mencuri minum atau makan sewaktu berpuasa bulan Ramadan, tetapi perbuatan rasuah, sogok dan menipu kerap berlaku dalam urusan perniagaan dan pekerjaan. bukankah sepatutnya kita wajib menjadi hamba Allah di dalam solat dan luar solat, semasa berpuasa atau berniaga?. ini adalah bukti, menunjukkan betapa ramai umat Islam tidak sedar bekerja, berniaga dan lain-lain aktiviti dalam kehidupan adalah satu ibadah.

Apakah syarat untuk menjadikan kerja itu sebagai ibadah?.
Tidak semua aktiviti dan pekerjaan jadi ibadah dengan begitu mudah. Ada syarat tertentu kerja boleh menjadi ibadah. Pekerjaan tidak akan menjadi ibadah walau seikhlas mana orang yang mengerjakannya, sekiranya kerja itu melibatkan arak, riba, pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-laintermasuk tidak menyempurnakan masa dan tugasan kerja dengan baik dan sempurna, yang tidak diterima dalam Islam. Ada yang beranggapan asalkan tujuan pekerjaan itu baik, maka boleh dianggap ibadah. Ini juga tidak betul, kerana dalam Islam, tujuan tidak pernah menghalalkan cara. tujuan yang baik mesti dilaksanakan dengan cara yang baik. Kerja ala Robin Hood, yang mencuri harta orang kaya diberi pada orang miskin, tidak akan dianggap sebagai ibadah.

Niat yang baik dan ikhlas sahaja tidak memadai untuk menjadi ibadah. Niat yang baik itu perlu dikaitkan terus dengan Allah s.w.t, maka katakan dalam diri kita seperti:

"Aku bekerja untuk mendapat rezeki yang halal kerana Allah menuntutku mencari rezeki yang halal"
"Aku bekerja untuk menyara dan membela keluarga kerana itu diwajibkan Allah ke atas diri ku sebagai ketua keluarga"
"Aku bekerja untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara kerana
Rasullah menegaskan sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain"

Intipati atau teras ibadah mestilah bersifat ikhlas. Ikhlas adalah nilai teras yang menghasilkan nilai-nilai yang lain. ikhlaslah yang melahirkan nilai integriti, produktiviti dan kualiti, termasuk nilai murni dalam pekerjaan kita. Ikhlas adalam pemantau dalaman yang menjamin seseorang itu berlaku telus, lurus, benar, sebelum, semasa dan selepas sesuatu pekerjaan dilakukan. Manakala tidak ikhlas pula menjadi punca timbulnya gejala nagetif seperti rasuah, tidak cekap dan sambil llewa dalam bekerja.

Apakah itu ikhlas dalamHuruf condong bekerja?. Secara mudah ia adalah kebersihan hati dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Apa yang diharapkan hanya keredaan Allah. Mungkin ada yang bertanya, bolehkah seseorang yang ikhlas menuntut gaji daripada pekerjaannya? Malah ada yang lebih sinis mengatakan, kalau benar-benar ikhlas janganlah menuntut sebarang ganjaran daripada pekerjaan kita.

Soalan ini menjurus kepada satu persoalan. Soalan ini tidak boleh dijawab tanpa kembali merujuk kepada soal teras dan asas dalam kehidupan. dalam hidup ini terdapat dua persoalan. pertama, tujuan hidup dan kedua, keperluan hidup.

Keperluan hidup seperti makanan, pakaian, rumah, kenderaan dan kehendak yang bersifat fizikal dan material. Tujuan hidup dalam Islam untuk beribadah yang melibatkan iabadah asas, ibadah sunat daan ibadah umum.

Kita tidak diajar memburu keperluan hidup dengan meminggirkan tujuan hidup. Tetapi hakikatnya, ramai yang berbuat demikian. Mereka fikirkan untuk mendapatkan makan minum, rumah selesa, kenderaan yang baik dan kehendak material semata-mata. Oleh kerana wang diperlukan untuk mendapatkan semua itu, maka bekerjalah mereka nsemata-mata untuk mendapat gaji (wang). Pada ketika itu keperluan hidup telah bertukar menjadi tujuan hidup. Islam mengajar supaya kita mengejar kedua-duanya iaitu keperluan hidup dan tujuan hidup, kerana kedua-duanya diperlukan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Namun jika diajukan soalan antara tujuan hidup dan keperluan hidup mana yang lebih penting?. Jawapan sepatutnya mestilah,tujuan hidup. Ini boleh kita buat analogi antara galah dan buah yang hendak dijolok. Galah penting kerana dengan galah kita boleh kait buah, tetapi tentu buah lebih penting kerana yang hendak kita makan ialah buahnya, bukan galahnya. Senang itu penting, tetapi tenang itu lebih penting. Apa gunanya kita senang tetapi tidak tenang.

Jadi marilah kita bekerja berdasar ibadah (tujuan hidup) bukan untuk mendapat gaji sahaja (keperluan hidup). Walaupun ikhlas itu tidak menafikan kita mendapat gaji, tetapi itu bukanlah matlamat utama dan pertama kita. Indahnya Islam kerana muslim boleh bekerja untuk mendapatkan keperluan dan tujuan hidup dalam satu masa. Kerja itulah untuk mendapat laba(gaji) dan kerja itu juga (jika menepati syaratnya) akan menjanjikan pahala. ingatlah kita, bahawa orang ikhlas bekerja untuk Tuhan, bukan untuk majikannya. Dalam kerja sebagai ibadah: GOD IS OUR CEO.
Ada sesuatu yang lebih bernilai dan tinggi untuk dicapai oleh orang yang ikhlas, iaitu keredaan, pahala dan keampunan Allah. dengan cara ini, ketenangan dan kebahagiaan (sama ada dalam diri, di tempat kerja dan dalam keluarga) akan tercapai.

" Orang yang ikhlas didorong 'dari dalam ke luar'(inside-out) - kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat. sebaliknya orang tidak ikhlas didorong dari 'luar ke dalam' (outside-in) - ganjaran dan hukuman.

Semoga kita boleh ingat mengingati antara satu sama lain, semoga semua kerja kita akan jadi ibadah, tidaklah semata-mata mendapat laba(gaji) sahaja.

Jumpa lagi di lain ruangan dan di lain kesempatan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan