05 Oktober 2011

BEKERJA SEPERTI BERMAIN BOLA DALAM PERTANDINGAN BOLA SEPAK

Assalamualaikum dan selamat 1Malaysia..

Tulisan ini saya adaptasikan daripada tulisan Dr. Fadzilah Kamsah. Selepas saya bersembang kosong tentang pertandingan bola sepak Liga Enggeris bersama En Mohd Suhaimi, Penolong Kanan HEM saya, terlintas pula untuk kaitkan permainan itu dengan kerja kita di manapun kita bertugas.

Beliau menulis tentang kita bekerja seperti bermain bola sepak.

Cuba bayangkan kita sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca televisyen. Kedua-dua pasukan yang bertanding begitu ghairah berebut, menyepak, menangkis, menendang dan menolak bola ke sana ke mari. Tetapi cuba kita bayangkan mereka bermain bola tanpa pintu gol?. Mustahil ada perlawanan bola sepak tanpa pintu gol?. Apa tujuan mereka beraksi dengan hebat, sudah pasti bermain bola tanpa pintu gol, bermain bola tanpa tujuan dan matlamat.

Saya beranggapan perkara ini sama dengan pengurusan kerja dan masa kita, mesti ada matlamat. Ada matlamat jangka panjang dan ada matlamat jangka pendek, seolah-olah "pintu gol" kepada kerja-kerja kita. Apa gunanya kita menendang dan merebut bola dalam pertandingan bola sepak tanpa ada pintu gol. Keadaan ini sama dengan kerja dan tugas harian kita yang tidak mempunyai matlamat. Apa yang kita peroleh, kebanyakannya hanyalah penat. sekurang-kurangnya berniatlah untuk memastikan kita mendapat pahala dan keredaan Allah dalam kerja yang dilaksanakan.

Jika kita rujuk kepada Islam, Nabi Muhammad (s.a.w) telah memberi nasihat.
"Sesungguhnya setiap amalan perlu dimulakan dengan niat". Oleh itu kita perlu berniat . Apa sahaja tugas dan amalan yang dilakukan perlu diniatkan dahulu supaya menjadi ibadah. Niat boleh dianggap sebagai merancang apakah perkara yang hendak dicapai daripada perbuatan itu. sebagai contoh solat. Jika menjadi imam ada niat seperti "Saya solat Zohor empat rakaat sebagai imam kerana Allah Taala. Niat ini merangkumi, apa perbuatan yang hendak dilaksanakan, apa jenis, bagaimana kaedah, apa hendak dicapai daripada perbuatan itu.

Jika diperinci daripada kerja solat yang dinyatakan, kita boleh lihat aspek berikut:
Kerja : Solat
Jenis : Zohor, empat rakaat.
Bagaimana : Secara berjamaah.
Matlamat : Kerana keredaan Allah.

Jika kita adaptasi teori ini kepada permainan bola:
Kerja : Main Bola Sepak.
Jenis : Sebelas sebelah, posisi penyerang.
Bagaimana : 4-3-4 menyerang dan bertahan.
Matlamat : Menang perlawanan dengan kelebihan 2 gol.

Itu sebabnya kita boleh katakan, belajar,bekerja dan lain-lain aktiviti kita seperti orang bermain bola.

Jika kita padankan situasi ini dengan tugas murid di sekolah:
Kerja : Belajar.
Jenis : 8 mata pelajaran berdaftar.
Bagaimana : Fokus dalam kelas, ikut arahan guru dan tanpa ponteng sekolah.
Matlamat : Berjaya atau lulus cemerlang 8 mata pelajaran.

Teori ini boleh diadaptasikan atau disesuaikan kepada semua jenis aktiviti yang menampakkan matlamat kita dengan jelas.

Di samping perkara di atas, seorang pakar motivasi, Dr Asmadi mengemukan teori 3S untuk kita berjaya. 3S itu ialah Sasaran,strategi dan sikap. Dengan ini boleh dikatakan, kejayaan tidak dapat dicapai apabila tiada sasaran ditetapkan. Selepas mempunyai sasaran, aturlah strategi dan laksanakan strategi tersebut. Pada masa yang sama kita ada sikap positif untuk mencapai matlamat (sasaran) tersebut.

Teringat pula saya kata-kata KPPM (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia) sekarang. Beliau menyatakan untuk capai kecemerlangan kita diajak bekerja dengan formulanya, iaitu X-PLUS.

X ialah kecemerlangan.
P Pengetahuan.
L Latihan.
U Usaha.
S Sepasukan.

Formula ini amat jelas dalam kerja-kerja dalam sebuah organisasi. Saya ingin menyesuaikannya untuk para pelajar. Pengetahuan dan latihan memang penting, biasa diperoleh dalam kelas dengan batuan guru dalam kelas. Usaha, ada dalam diri para murid masing-masing. Sepasukan, saya sesuaikan dengan wujudkan pasukan belajar masing-masing. Belajar dan mengulangkaji dalam kumpulan adalah amat efektif berbanding secara bersendirian.

Kesimpulannya, semua orang boleh dan berhak untuk merancang dan mencapai kejayaan, dan cemerlang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan