23 Mei 2009

UCAPAN PERASMIAN PENUTUP KURSUS PENINGKATAN SAHSIAH GURU / PENINGKATAN PRESTASI BAHASA MALAYSIA

Assalamualaikum...

Pada hari ini 23 Mei 2009 (Sabtu), saya dijemput untuk menyempurnakan majlis penutupan kursus bagi semua guru SJK Cina daerah Hulu Selangor di dewan SJK C Khing Ming, Kuala Kubu Bharu.

Kursus pada hari ini melibatkan slot yang disampaikan oleh Prof. Dr. Shaun Zeng dari Klang. Satu slot lagi, peningkatan prestasi Bahasa Malaysia disampaikan oleh En Muhamat Khir b Hashim.

Saya sempat menyampaikan ucapan kepada semua guru yang hadir, saya jangkakan lebih daripada 200 orang. Kita berharap kursus yang dilalui pada hari ini akan meningkatkan kemahiran guru-guru SJK C daerah Hulu Selangor. Saya tidak lupa mengucapkan selamat hari guru, meminta bersama-sama menghayati tema tahun ini, "Guru Pembina Negara Bangsa". Saya rasa satu tanggungjawab besar dan memerlukan pengorbanan yang besar daripada semua guru.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada AJK pelaksana dengan kerjasama MGBC dan unit latihan PPD Hulu Selangor, kursus ini berjalan dengan baik dan lancar.

21 Mei 2009

CUTI REHAT URUSAN SERVIS KERETA

Assalamulaikum...

Pada hari ini, 21 Mei 2009, saya bercuti. Pada hari saya dijangka berada di Selayang dari 8.30 pagi hingga 3.30 petang. Kereta saya sudah perlu melalui "major servis". Waktu saya menaip ini jam baru menunjukkan pukul 9.00 pagi. Saya perlu tunggu hingga ke petang. Ini pasti membosankan. Nasib baik saya membawa novel yang masih belum selesai saya baca, sejak saya beli bulan lepas. Ada 1/3 bahagian terakhir yang belum dibaca.

Mungkin kurang juga bosan kerana ada buku, rasanya akan habis dalam masa 2 jam sahaja. Lepas itu nak buat apa?. Internet ada di sini. TV juga disediakan. Mungkin inilah yang ada untuk saya menanti sehingga ke petang.

Saya berhenti di sini sahaja buat ketika ini. Jika ada maklumat lain, saya akan masuk kemudian, mungkin di rumah.

18 Mei 2009

KURSUS INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Pada 18 Mei 2009, Jabatan Pelajaran Selangor telah menganjurkan satu kursus, iaitu Kursus Integriti Dalam Perkhidmatan Awam, bertempat di Hotel Goldcourse, Klang.

Majlis pada hari ini dimulakan dengan ucaputama oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Tn Hj Bajuri bin Abdullah.

Terdapat 2 sesi, slot yang disampaikan oleh oleh Tn Moh Samsuddin bin Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Selangor. Beliau banyak menyentuh tentang kes-kes yang pernah berlaku sama ada secara disedari atau secara tidak disedari oleh penjawat awam. Perkara yang disentuh, termasuklah tentang suapan (rasuah), menegmukakan dokumen palsu dan penyalahgunaan kuasa.

Paling penting bagi pandangan saya ialah berpegang kepada ajaran agama sepenuhnya. Ajaran agama semestinya melarang kita daripada menghampiri dan melakukan perkara-perkara yang boleh menggugat integriti kita sebagai penjawat awam.

Sesi sebelah petang, slot disampaikan oleh Tb Hj Aluwi bin parman, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), atas tajuk Pemantapan Budaya Integriti Dalam organisasi.
Guru dan semua warga pendidik juga tidak terkecuali daripada hal berkaitan integriti. Oleh itu marilah kita sama-sama supaya integriti sektor pendidikan dapat diprtahankan keutuhannya.

17 Mei 2009

SEMINAR "SCORE A" DALAM PMR

Assalamualaikum......
Pada hari ini saya sempat hadir dalam majlis pembukaan program Score A anjuran Berita Harian dan Bank Rakyat di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu, pada pukul 10.00 pagi.

Saya mewakili PPD Hulu Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur program seminar ini. Tahniah kepada pelajar yang hadir kerana sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk mendapat maklumat yang banyak faedahnya, dalam menghadapi PMR yang akan menjelang tidak lama lagi.

Tidak dapat dinafikan banyak pihak yang memberikan perhatian yang lebih pada keputusan peperiksaan, sama ada UPSR, PMR,SPM dan STPM. Sudah menjadi kebiasaan dalam sistem pendidikan sekarang keputusan peperiksaan amat dipentingkan, walaupun pendidikan secara menyeluruh tidaklah hanya setakat peperiksaan sahaja. Pendidikan sebenarnya lebih luas daripada itu, kerana melibatkan membangunkan modal insan.

Namun sebagai memenuhi objektif program yang disusun, seminar sepertin ini dapat membantu para pelajar. Namun semua pelajar perlu ingat bahawa untuk mencapai kecemerlangan yang sepatutnya tidak boleh hanya mengharapkan seminar seperti ini sahaja. Usaha berterusan dengan tunjuk ajar guru dan sokongan ibu bapa amat perlu. Tidak lupa usaha berterusan setiap pelajar lebih penting lagi.

Terima kasih saya ucapkan kepada Berita Harian, Bank Rakyat dan semua fasilitator yang sanggup bersusah payah menyediakan segala pengisian dalam seminar ini. Sekian terima kasih.

14 Mei 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Assalamualaikum....

Tidak lama lagi pada 16 Mei 2009, kita warga pendidik seluruh pelusuk negara akan menyambut Hari Guru, semenjak dimulakan pada tahun 1972 yang lalu. Tema Hari Guru tahun ini mengambil kira teras pertama PIPP yang didokong oleh semua warga pendidik kumpulan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jika kita rujuk terus kepada teras ini, kita memang bukan sekadar penyampai maklumat dan ilmu kepada murid-murid dan pelajar di sekolah. Nilai yang perlu kita ambil kira ialah membangunkan modal insan kita ke arah menjadi warga negara yang mampu meneraju dan meningkatkan kedudukan negara dalam segala segi. Kita berharap warga bangsa kita akan datang akan dapat menerima dan menggunakan segala ilmu yang global pada masa sekarang. Pada masa yang sama kita mengharapkan mereka tidak lupa pada jati diri yang bertunjangkan kepada aspek local dan menjunjung segala warisan bangsa yang telah wujud lama dalam bangsa Malaysia.

Kita berharap negara kita akan wujud suasana harmoni secara berterusan dalam kumpulan kaum yang pastinya berbeza. semua ini sedia ada dari masa yang lama.

Kembali kepada hari guru kita, saya muatkan bersama ini seni kata lagu Guru Pembina Negara Bangsa di bawah ini:

Bersedia Melangkah Megah
Walaupun Sukar Bakti Kucurah
Demimu Ibu Pertiwi
Sumpah Kulafaz Janji Kukota

Berikrar Eratkan Bangsa
Kukuhkan Cinta Kepada Negara
Berjasa Terus Berjasa
Menyebarkan Ilmu Tiada
Batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah Perjuangkan Visi Negara
Bangunkan Jiwa Yang Pelbagai Rupa
Demi Agama dan Nusa Tercinta

Guru pembina negara bangsa
Tetap unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai
matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia