20 November 2011

MARI BEKERJA SECARA PROFESIONAL DAN MENUNAIKAN AMANAH

Sudah menjadi kebiasaan setiap pekerja sama ada bekerja dan bertugas di sektor swasta mahupun sektor kerajaan, bekerja secara profesional dan memperuntukkan masa bekerja hanya untuk keperluan tugas. Semua pekerja telah melakukan akad atau kontrak (kesepakatan) kerja dengan individu, syarikat atau kerajaan, secara automatik terikat dengan pekerjaan yang diserahkan atau amanah oleh pihak lain kepadanya. Pekerja tersebut tidak boleh memanfaatkan waktu kerjanya untuk urusan lain yang tiada kaitan dengan tugasnya.

Mengapa?. Ini kerana setelah akad dan kesepakatan (kontrak), waktu bekerja bukan milik si pekerja (pegawai) itu, tetapi menjadi milik pekerjaan dan tugas yang telah dibebankan sebagai membalas upah atau gaji yang telah diterimanya. Orang Islam sangat terikat dan berpegang dengan kesepakatan atau kontrak yang telah dipersetujuinya.

Itulah sebabnya orang Islam tidak boleh menggunakan waktu kerjanya untuk melakukan perkara nafilah seperti solat sunat, iktikaf, tahajud dan ibadah sunat yang lain. Kita perlu ingat bahawa menunaikan tugas dan pekerjaan adalah wajib, sementara yang sunah yang dinyatakan tadi hanyalah bersifat keutamaan dan nafilah sahaja. Ibadah sunat tidak boleh mengalahkan ibadah wajib.

Seseorang pekerja yang dengan sesuka hatinya mengurangi waktu bekerja untuk urusan peribadi sepatutnya tidak berhak menuntut upah yang penuh daripada majikannya atau daripada kerajaan yang menjadi majikan kaki tangan kerajaan. Seorang Islam mestilah bekerja dengan disiplin dan profesional. Jika bekerja bak kata pepatah "Bagai melepaskan batuk di tangga" sama tercelanya pada Allah dengan orang yang curang dalam sukatan dan timbangan. Mereka meminta agar haknya dipenuhi bahkan kalau boleh dilebihkan, tetapi pada waktu yang sama mencantas hak orang lain. Allah telah berfirman dalam surah al-Muthafifin: Maksudnya:
"Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi. Tidaklah orang-orang itu menyangka , bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam".

Ayat di atas bukan hanya berlaku pada pengurangan sukatan atau timbangan sahaja. Ayat ini berlaku untuk semua bentuk hak, sebagaimana yang telah ditegaskan Syaikh Ibnu Utsaimin dalam Tafsir Juz Ammanya. Ayat di atas juga merupakan teguran keras bagi pegawai atau pekerja yang curang dalam memperuntukkan waktu dan cuai dalam menunaikan tugas, tetapi mahu dibayar penuh.

Orang Islam yang ingin memenuhi kewajipannya secara profesional mestilah menjaga dan menggunakan waktu agar dia terhindar daripada menggunakan waktu kerja untuk kepentingan yang bukan menjadi bahagian pekerjaannya. Tentulah bukan pekerja profesional namanya kalau pada waktu kerja digunakan untuk bersiar-siaar di pasar atau tempat lain, termasuk pulang ke rumah.

Kita perlu ingat dan sedar bahawa memanfaatkan waktu untuk kepentingan di luar pekerjaan adalah salah satu bentuk rasuah (korapsi). Hal ini sebagai pengkhianatan terhadap amanah. Untuk mereka cukuplah permulaan surah al-Muthaffifin di atas sebagai teguran keras.

Catatan daripada buku ini sebagai mengingatkan diri saya utamanya dan saling ingat mengingat di kalangan rakan setugas di sekolah. Maaf jika catatan saya ini akan menyinggung perasaan hati masing-masing, tetapi perlu diingatkan kepada sesama manusia yang kerap lupa. Semoga kita semua akan bertugas dan bekerja secara profesional dan menaggung amanah yang telah kita persetujui dalam akad menjadi pendidik kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan