08 Januari 2010

MINGGU PERTAMA SESI PERSEKOLAHAN / MINGGU PERTAMA TAHUN 2010

Minggu ini persekolahan dan kerja pejabat bermula pada 04 Januari hinggalah 08 Januari 2010.

Pada 04 Januari permulaan kerja sesi 2010, kebanyakan pegawai di PPD menjalankan kerja dan tugas pemantauan awal persekolahan di sekolah-sekolah yang telah ditetapkan oleh Sektor Pengurusan sekolah. Saya kebanyakannya menghabiskan tugas di pejabat, seperti menguruskan pertukaran murid dan melayan tetamu yang datang ke pejabat kerana menghadapi masalah-masalah persekolahan anak-anak mereka.

Pada 05 Januari 2010 masih menguruskan perkara yang sama termasuk tugas harian perkhidmatan dan berkaitan pengurusan kewangan di pejabat. Apa lagi semua perkara harian di pejabat.

Pada 06 Januari 2010, saya bergerak ke luar, iaitu ke Kg Sungai Nilam di Sungai Selisek. Saya bersama Kaunselor (Tn hj Ruslan) dan Penolong Penyelia HEM (Tn Hj Rasidi) kerana mendapat perkhabaran tentang ada keluarga mempunyai anak-anak yang tidak bersekolah. Inilah kali pertama saya masuk ke kawasan perkampungan ini walaupun sudah biasa lalu lalang melalui jalan di Sungai Selisek ini semenjak tahun 1980 lagi. Kami balik dan singgah di Kg Air Panas, Kerling kerana menziarahi satu lagi keluarga yang dikatakan mempunyai keadaan yang hampir sama. Sebelah petang saya meneruskan tugas dan tanggungjawab di pejabat sahaja.

Pada 07 Januari 2010, pukul 11 pagi saya mewakili Tn PPD ke Ulu Yam Wood Resort kerana menghadiri majlis penutup program Jabatan Hal Ehwal orang Asli Hulu Selangor bersama ibu bapa orang Asli kawasan Kg Kuantan dan Kg Gurney. Timbalan Pengarah JHOA Selangor-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut bersama dalam majlis berkenaan. Selesai majlis ini saya bergegas balik ke Kuala Kubu bharu kerana diamanahkan oleh Tn PPD untuk mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSSD kali pertama. Sampai sahaja di pejabat, mesyuarat terus dijalankan.

08 Januari 2010, saya ke Selayang untuk servis kereta saya. Catatan inipun saya buat semasa berada di pusat servis Toyota Selayang. Kereta saya dijangka dapat diselesaikan pada pukul 11.30 tengah hari. Selesai di sini saya akan ke Shah Alam kerana Tn PPD meminta saya menggantikannya menghadiri mesyuarat di JPN Selangor, iaitu mesyuarat Jawatankuasa Promosi NKRAs peringkat negeri. Saya akan sambung catatan ini sebelah malam nanti jika berkesempatan. Jumpa lagi.

Sila ambil perhatian kepada semua Pengetua dan Guru Besar, hasil daripada mesyuarat siang tadi:

SATU PROGRAM PROMOSI NKRAs PENDIDIKAAN AKAN DIADAKAN:

PADA: 18 JANUARI 2010 (ISNIN)

TEMPAT: KOMPLEKS BELIA DAN KEBUDAYAAN NEGERI SELANGOR,SEKSYEN 7, SHAH ALAM.

MASA: 8.30 PAGI.

Surat rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi. Sebarang pertanyaan sila hubungi saya dengan menggunakan talian yang tertera pada blog ini.

Tentatif Program pada hari tersebut:
7.30 - 8.20 pagi - Pendaftaran.
8.30 - 8.45 pagi - Negaraku
- Bacaan doa

8.45 - 9.45 pagi - NKRA 1-Prasekolah.
9.45 - 10.45 pagi - NKRA 2-Literasi dan Numerasi (LINUS)
10.45-11.15 pagi - KUDAPAN.
11.15-12.15 pagi - NKRA 3 - Sekolah Berprestasi Tinggi
12.15-1.15 t hari - NKRA 4 - Tawaran Baru Untuk Pengetua / Guru Besar

Semoga tentatif program ini dapat memberi gambaran kepada semua untuk bersedia hadir ke program ini. Semoga masing-masing boleh bersedia untuk bersarapan terlebih dahulu. Rasanya tidak ada hidangan makan tengah hari akan disediakan kepada semua peserta.




03 Januari 2010

SESI PERSEKOLAHAN 2010

Hari ini 3 Januari 2010,

Ini adalah catatan pertama saya bagi tahun 2010. Hari ini hari Ahah, besok sesi persekolahan akan bermula. Selamat kembali ke Hulu Selangor diucapkan kepada semua guru yang bercuti panjang. Selamat datang kepada semua guru-guru baru berpindah ke daerah ini, di samping yang baru di tempatkan ke daerah Hulu Selangor.

Hari ini saya lebih khusus menguruskan dua orang anak saya yang akan balik ke tempat pengajian mereka. Anak sulung saya telah lebih seminggu balik ke UPM untuk menyambung pelajarannya sekarang. Dia berada di tahun ke-3. Ada 1 1/2 tahun lagi. Anak kedua saya masih ada di rumah sekarang, selepas balik bercuti pada hari Khamis baru ini. Dia akan balik ke UIA Kuantan pada hari ini. Anak ke-3 saya juga akan balik ke IPIS Bandar Baru Bangi pada hari ini.

Saya percaya semua sekolah telah melalui sesi mesyuarat awal tahun masing-masing. Saya percaya pendaftaran Tingkatan 1 / Tahun 1 telah selesai dijalankan. Semua sekolah telah dimaklumkan akan hal ini.Saya berharap tidak ada apa-apa masalah dalam sesi awal persekolahan tahun 2010.

Bagi sekolah menengah, masing-masing baru mendapat keputusan PMR masing-masing. Walaupun pada amnya keputusan PMR daerah tidak begitu baik, marilah kita sama-sama berusaha supaya kejayaan yang lebih baik akan tercapai.

Catatan khas untuk semua 49 orang Guru besar di daerah ini, sila pastikan perkara penting yang perlu dibereskan mulai 5 Januari 2010 akan datang, maksud saya tentang Bai-ah NKRA seperti yang telah dimaklumkan saebelum ini. tuan-tuan telah mengisi maklumat SKPM dalam sesawang NKRA. Sila masuk semula ke sesawang ini dan buat cetakan terhadap maklumat NKRA masing-masing. Sila tanda tangan dokumen bai-ah ini dan serahkan satu salinan kepada PPD Hulu Selangor untuk tujuan rekod. Jangan lupa selesaikan tanggung jawab masing-masing.
Sebarang masalah boleh hubungi pihak PPD Hulu Selangor, segera.

29 Disember 2009

Cikgu Perlu Mengoptimumkan Penggunaan ICT di Sekolah

Kepesatan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya tidak boleh disangkal lagi terutama fungsinya yang boleh dimanfaatkan dalam bidang pendidikan. Di dalam usaha kerajaan membantu guru-guru untuk celik komputer, pelbagai langkah positif telah diambil. Antaranya ialah dengan menyediakan prasarana lengkap seperti kemudahan ‘Laptop’, ‘Laser Printer’ dan ‘Wireless Internet’ di makmal komputer sekolah yang membabitkan pelaburan yang tinggi.

Tidak hanya untuk kepentingan cikgu dan murid di sekolah bandar sahaja, segala kemudahan ICT yang disediakan kerajaan turut membabitkan sekolah-sekolah di luar bandar. Semua ini dilakukan atas dasar untuk memastikan setiap guru atau murid dapat menikmati kemajuan negara dan pada masa yang sama dapat mendekatkan jurang digital. Penubuhan Pusat Internet Desa, Schoolnet, Pusat Komuniti IT, Info Desa, Pembestarian Sekolah dan bermacam lagi program telah dijalankan untuk memastikan setiap murid dan cikgu Malaysia dapat menikmati kemudahan teknologi Internet.

Cikgu digesa agar peka dengan segala bentuk usaha yang dilakukan oleh kerajaan di dalam memperkasakan penggunaan ICT kerana ia melibatkan pelbagai bidang kehidupan. Kesemua infrastruktur ICT yang disediakan oleh pihak kerajaan sewajarnya dioptimumkan penggunaannya agar niat murni untuk melahirkan murid-murid celik IT akan berhasil.

Saya amat percaya bahawa guru perlu menyediakan diri mereka supaya mampu menggunakan kemudahan ICT dengan baik dan berkemampuan. Dengan mempunyai kemahiran, guru-guru akan mampu bersedia sepanjang masa untuk melaksanakan tugasan harian dengan menggunakan ICT dengan sebaik mungkin.

27 Disember 2009

PERSIAPAN MENJELANG BUKA SESI PERSEKOLAHAN 2010

Hari ini hari Ahad 27 Disember 2009. Kita ada seminggu lagi sebelum buka sekolah tahun 2010, iaitu pada 4 Januari 2010.

Di ruangan ini saya ingin mengingatkan semua sekolah supaya semua perkara yang diingatkan dalam perjumpaan bersama Pengarah Pelajaran disediakan. Tolong pastikan kerusi meja dan buku teks tersedia pada hari pertama persekolahan. Saya percaya minggu hadapan pasti akan bermulanya mesyuarat guru bagi setiap sekolah supaya segala hal dapat dipastikan berjalan dengan baik pada sesi tahun 2010.

Saya berharap pendaftaran murid tahun 1 atau tingkatan 1 dapat dilakukan dengan baik dan lancar sebelum sesi persekolahan bermula. Seperti yang biasa diingatkan, jangan buat pendaftaran pada hari pertama persekolahan. Hari pertama pengajaran & pembelajaran sepatutnya telah dilakukan.Selamat menyediakan sekolah kita dalam keadaan baik pada tahun 2010.

Saya tidak lupa mengucapkan, selamat balik ke Hulu Selangor bagi yang bercuti di kampung masing-masing. berhati-hati sepanjang perjalanan. Jumpa lagi.

21 Disember 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH KEBANGSAAN BIL 1/2010

Pada 23 disember 2009 mesyuarat berkaitan akan diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh: 23 Disember 2009.
Masa: 8.30 pagi.
Tempat: SK Seri Fajar.

Semoa semua yang telah dipanggil untuk hadir, Guru Besar dan Penolong Kanan dapat melapangkan masa untuk hadir melengkapkan mesyuarat peringkat daerah.Semoga kehadiran tuan-tuan akan memastikan program akademik di daerah dapat berjalan dengan baik.

Semoga kita berjumpa lagi pada hari mesyuarat tersebut.