23 November 2011

23 NOVEMBER 2011

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

Biasanya saya menulis atas tajuk yang berat-berat. Hari ini saya bercadang untuk mencatatkan hal biasa yang dilalui di pejabat.

Hari ini, hari Rabu 23 November 2011. Hari ini saya sampai di pejabat dan membuka pejabat sendiri kerana semua kaki tangan pejabat masih belum sampai. Saya ketip kad perakam kedatangan pada 7.06 pagi. Saya membuka bilik saya dan membuka komputer, untuk melihat maklumat-maklumat dalam emel dan lain-lain. Ada entry dalam emel tetapi tidak ada yang penting pada pagi ini.

Beberapa minit kemudian, pada pukul 7.45 pagi 3 orang murid, calon SPM datang ke bilik saya kerana ketinggalan kad pengenalan. Saya uruskan tandatangan surat pengesahan pelajar untuk membolehkan ketiga-tiganya mengambil SPM pada sesi pagi ini.

Hari ini para pelajar menghadapi mata pelajaran Matematik Tambahan. Subjek yang menjadi masalah kepada calon yang tidak cukup bersedia dari awal. Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan selamat menjawab kepada calon SPM yang terlibat di SEMEKAP. Semoga mereka berjaya menjawab dengan baik dan mencapai keputusan yang terbaik bagi setiap pelajar.

Ucapan selamat menghadapi peperiksaan kertas Matematik Tambahan ini saya tujukan khas kepada anak saya yang mengambil peperiksaan di SMK Kuala Kubu Bharu. Ini anak keempat saya. Semoga dapat yang terbaik untuk mu.

Sesi pertama telah selesai. Mereka perlu menduduki kertas kedua pada pukul 2.00 petang. Gunakan masa yang terluang untuk bersiap bagi kertas tersebut. Semoga dapat yang cemerlang.

20 November 2011

MARI BEKERJA SECARA PROFESIONAL DAN MENUNAIKAN AMANAH

Sudah menjadi kebiasaan setiap pekerja sama ada bekerja dan bertugas di sektor swasta mahupun sektor kerajaan, bekerja secara profesional dan memperuntukkan masa bekerja hanya untuk keperluan tugas. Semua pekerja telah melakukan akad atau kontrak (kesepakatan) kerja dengan individu, syarikat atau kerajaan, secara automatik terikat dengan pekerjaan yang diserahkan atau amanah oleh pihak lain kepadanya. Pekerja tersebut tidak boleh memanfaatkan waktu kerjanya untuk urusan lain yang tiada kaitan dengan tugasnya.

Mengapa?. Ini kerana setelah akad dan kesepakatan (kontrak), waktu bekerja bukan milik si pekerja (pegawai) itu, tetapi menjadi milik pekerjaan dan tugas yang telah dibebankan sebagai membalas upah atau gaji yang telah diterimanya. Orang Islam sangat terikat dan berpegang dengan kesepakatan atau kontrak yang telah dipersetujuinya.

Itulah sebabnya orang Islam tidak boleh menggunakan waktu kerjanya untuk melakukan perkara nafilah seperti solat sunat, iktikaf, tahajud dan ibadah sunat yang lain. Kita perlu ingat bahawa menunaikan tugas dan pekerjaan adalah wajib, sementara yang sunah yang dinyatakan tadi hanyalah bersifat keutamaan dan nafilah sahaja. Ibadah sunat tidak boleh mengalahkan ibadah wajib.

Seseorang pekerja yang dengan sesuka hatinya mengurangi waktu bekerja untuk urusan peribadi sepatutnya tidak berhak menuntut upah yang penuh daripada majikannya atau daripada kerajaan yang menjadi majikan kaki tangan kerajaan. Seorang Islam mestilah bekerja dengan disiplin dan profesional. Jika bekerja bak kata pepatah "Bagai melepaskan batuk di tangga" sama tercelanya pada Allah dengan orang yang curang dalam sukatan dan timbangan. Mereka meminta agar haknya dipenuhi bahkan kalau boleh dilebihkan, tetapi pada waktu yang sama mencantas hak orang lain. Allah telah berfirman dalam surah al-Muthafifin: Maksudnya:
"Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang, (iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain mereka minta dipenuhi, dan apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi. Tidaklah orang-orang itu menyangka , bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan, pada suatu hari yang besar, (iaitu) hari manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam".

Ayat di atas bukan hanya berlaku pada pengurangan sukatan atau timbangan sahaja. Ayat ini berlaku untuk semua bentuk hak, sebagaimana yang telah ditegaskan Syaikh Ibnu Utsaimin dalam Tafsir Juz Ammanya. Ayat di atas juga merupakan teguran keras bagi pegawai atau pekerja yang curang dalam memperuntukkan waktu dan cuai dalam menunaikan tugas, tetapi mahu dibayar penuh.

Orang Islam yang ingin memenuhi kewajipannya secara profesional mestilah menjaga dan menggunakan waktu agar dia terhindar daripada menggunakan waktu kerja untuk kepentingan yang bukan menjadi bahagian pekerjaannya. Tentulah bukan pekerja profesional namanya kalau pada waktu kerja digunakan untuk bersiar-siaar di pasar atau tempat lain, termasuk pulang ke rumah.

Kita perlu ingat dan sedar bahawa memanfaatkan waktu untuk kepentingan di luar pekerjaan adalah salah satu bentuk rasuah (korapsi). Hal ini sebagai pengkhianatan terhadap amanah. Untuk mereka cukuplah permulaan surah al-Muthaffifin di atas sebagai teguran keras.

Catatan daripada buku ini sebagai mengingatkan diri saya utamanya dan saling ingat mengingat di kalangan rakan setugas di sekolah. Maaf jika catatan saya ini akan menyinggung perasaan hati masing-masing, tetapi perlu diingatkan kepada sesama manusia yang kerap lupa. Semoga kita semua akan bertugas dan bekerja secara profesional dan menaggung amanah yang telah kita persetujui dalam akad menjadi pendidik kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

05 November 2011

DUA JENIS IBU BAPA YANG GAGAL DAN BAGAIMANA HENDAK MENGUBAHNYA

Siapakah mereka ya?. Semoga kita tidak tergolong dalam kumpulan ini.

Terdapat dua jenis ibu bapa. Satu ibu bapa yang mengabaikan anak-anak dan kedua ibu bapa yang memberi perhatian tetapi tersalah mendidik anak-anak. Metafora buat mereka ini seperti satu memberi racun dan satu lagi memberi santau. Mana lebih bahaya?. Racun kesannya membunuh dengan segera. Santau pula tetap akan membunuh tetapi secara beransur-ansur dan lebih menyeksa.

Kita menganggap ibu bapa zalim apabila mereka sanggup mendera anak dengan memukul dan mencucuh api rokok kepada tubuh anaknya. Kita akan kata ibu bapa itu tidak berhati perut. Apa yang dilakukan mereka adalah memusnahkan hidup sianak.

Tetapi apa pula pandangan kita kepada ibu bapa yang tersalah dalam mendidik sehingga dengannya menjadikan anak mereka derhaka kepada Allah serta menjadi ahli maksiat sehingga apabila pulang ke akhirat, dia akan dibakar api neraka jahanam, yang pasti ini lebih panas dari api puntung rokok tersebut. Bukankah ini juga zalim, bahkan lebih menyeksakan?

Ibu bapa yang mengabaikankeperluan asas anaknya dengan menjadikan mereka terbiar, adalah seperti memberi racun yang membunuh serta merta. Sebaliknya ibu bapa yang tersalah didik sehingga anak menjadi anak yang kaki maksiat adalah seperti menyuap santau ke mulut anaknya, lalu anak itu akan menderita binasa di dunia dan di akhirat.

Kedua-dua jenis ibu bapa ini memudaratkan nasib anak mereka sendiri. Oleh itu kita perlu mencari kaedah terbaik agar anak merasai manfaat daripada apa yang kita usahakan.

Sebenarnya anak-anak aadalah milik penciptanya, ibu bapa hanya penyebab sahaja mereka berada di dunia ini. Kita perlu kembalikan permata ini kkepada Allah penciptanya.
Mari kita bincangkan supaya kita ibu bapa tidak tergolong dalam dua kumpulan ini.
Sayangkan Anak Ditangan-tangankan.
Mari kita ambil nasihat orang-orang tua yang menyatakan "sayangkan anak ditangan-tangankan". Namun kalimah ditangan-tangankan" sering memberi konotasi negatif dan erti yang sempit. Selalu ditakrifkan sebagai pukul dan hukum. Secara dangkal, kita fahami untuk mendidik anak perlu dipukul dan mereka akan jadi baik. Bagi saya ini separuh betul dan separuh tidak betul. Kita tahu pendidikan itu holistik (menyeluruh) dan kompleks.

Proses pendidikan anak-anak sangat penting kerana ini akan bakal menentukan siapa anak itu pada masa hadapan. Tanpa plan pendidikan yang rapi serta disiplin yang tinggi pada ibu bapa, fungsi pendidikan akan gagal. Wujud ruang kosong yang akan diisi oleh perkara negatif, yang sentiasa mengintai untuk memusnahkan potensi seorang insan.

Bagi saya orang-orang tua mengemukakan kalimah "tangan-tangan" tidaklah membawa maksud setakat maksud fizikalnya sahaja tetapi fungsi tangan secara menyeluruh, ini akan membawa kejayaan sebagai ibu bapa cemerlang dalam memikul amanah bagi mengembalikan anak kepada Allah.

Pertama: Tunjuk.
Apabila kita bertanya arah kepada orang ketika sesat, dia akan menggaya-gayakan tangannya apabila menerangkan arah yang patut dilalui. Orang tidak hanya menunjuk dengan bicara mulut, bukan juga dengan onggota tubuh yang lain apabila ingin menunjuk sesuatu dengan jelas-jelasnya. Itulah fungsi tangan yang paling utama. Ia diperlukan untuk memberi gambaran yang jelas tentang arah dan hala tuju.

Dalam konteks pendidikan anak-anak, tunjuk adalah menjelaskan hala tuju hidup, apakah halangan dan rintangan sepanjang laluan dan apakah persiapan yang perlu disediakan. Kita perlu tunjuk dengan jelas kepada anaak-anak bahawa segala yang digariskan oleh Islam adalah matlamat paling utama dan tidak boleh dikompromi sama sekali.

Kedua, Tuntun:
Proses didikan tidak sempurna sehingga kedua-dua ibu bapa bertindak sebagai murabbi (pendidik-pentarbiah). Ini adalah proses ta'dib di mana ibu bapa berperanan sebagai murabbi memimpin anak untuk menerapkan apa yang dipelajari ke daalam kehidupan sebenar mereka.

Pembelajaran tanpa ta'dib akan menjadikan pengajaran itu hanya melekat di dada buku, pada bait, rangkap dan perenggan tetapi tidak ada dalam diri si anak. Sesuatu pengajaran hanya indah di dalam teorinyya tetapi praktisnya kosong. Proses muat turun ini memerlukan tangan ibu bapa untuk memimpin dan menuntun mereka bersama-sama, sehingga berulang-ulang untuk mengikut akhirnya. Jangan harapkan sianak akan cepat faham dan terus berdikari dengan sedikit tunjuk ajar. Mereka perlukan hubungan rapat dengan jelas kita berperanan memimpin mereka.

Tempoh pertumbuhan kanak-kanak amat kritikal. Mereka belum matang banyak aspek, malah semua aspek seperti fizikal, intelek, emosi dan juga rohani. Sentuhan diperlukan. Lihat sahaja Malaikat Jibril apabila datang membawa wahyu. Malaikat Jibril tidak datang mennggantung wahyu pada dinding Gua Hira, sebaliknya datang dengan memeluk kuat Rasulullah. Ini sebagai petanda bahawa pendidikan perlu hubungan yang sangat rapat antara pendidik dan yang dididik. Tidak berjaya sesuatu pendidikan tanpa hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak. tidak terkecuali antara guru dan muridnya. Perhubungan perlu meriah dengan mendengar dan menghargai setiap pandangan mereka.

Ketiga: Tegah:
Ibu bapa perlu sediakan pelan pencegahan untuk anak-anak. Ini mengelakkan mereka daripada terjebak atau terperangkap dalam hal yang tidak baik pada masa hadapan. Itu sebabnya kita terjumpa proses pengasingan bilik antara anak lelaki dan perempuan. Ada batas aurat di kalangan ahli keluarga. Inilah proses penegahan awal kepada anak-anak yang suatu masa nanti akan mempunyai keluarga sendiri.

Keempat: Tarik:
Ini tindakan proaktif dalam proses pendidikan anak-anak oleh ibu bapa dan tidak boleh berkompromi dengan kecuaian dan kesilapan anak. Proses pemantauan perlu dibuat. Setiap kali mereka tersalah langkah jangan biarkan terlalu lama. Kita sebagai ibu bapaa perlu tarik semula mereka kembali ke landasan.

Banyak masalah dalam hidup manusia menjadi rumit dan bertambah rumit kerana masalah itu diarkan berlarutan. Menarik balik ini memerlukan kekuatan kita kerana biasa kita hilang fokus, kerana ada sikap belas kesihan akan membuatkan kita terus memberikan ruang kepada anak-anak, lalu akhirnya mereka terus terbiar.

Biasa sangat kemusnahan anak-anak berlaku kerana kesilapan memilih kawan karibnya. Kesilapan ini akan mengundang kesilapan yang lain. Rasanya kita sebagai ibu bapa perlu menjadi kawan anak-anak. Dengan pendekaatan berkawan kita akan sentiasa dapat melihat apa-apa juga aktiviti sepatutnya diluar. Walau bagaimanapun kita perlu imbangkan supaya tidaklah seolah-olah tidak percaya langsung dengan anak-anak.

Kelima: Takzir:
Dalam pendidikan anak-anak perlu ada impak dan balasan. Segala kebaikan dan kejayaan perlu diraikan. Pada masa sama mereka perlu tahu, bahawa ada balasan dan hukuman buat mereka apabila tersalah. Kita pun tahu bahawa dalam Islam membenarkan mereka menerima hukuman rotan, tetapi perlu berpaksi kepada keperluan didikan merotan itu sendiri. Menghukum pada waktu marah perlu dielakkan. Paling penting adalah matlamat mendidik itu sendiri. Dengan cra itu kita akan pastikan hukuman itu adalah untuk mengajar dan menyedarkannya bukan bersandar kepada emosi marahnya. Didikan ibu bapa yang berbentuk "laissure fare" menampakkan keseronokan kepada anak-anak tetapi kita bimbang anak-anak tidak mempunyai ketahanan disiplin dalam hidupnya untuk jangka panjang.

Keenam: Tadah:
Fungsi tangan yang penting juga ialah berdoa. Ini sebagai senjata utama yang perlu digunakan oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menadah tangan mendoakan anak-anak. Doa ibu bapa akan smpai langsung kepada Allah untuk diperkenankan. Jangankita bersangka buruk kepada anak-anak terutama keupayaan mereka. Tidak mungkin doa kita dimakbulkan, mengharapkan kejayaan mereka, tetapi dalam hati kita meletakkan had terhadap keupayaan mereka.

Inilah dia enam perkara yang dapat disingkap daripada fungsi tangan sebenar berbanding tangan yang biasa kita rujuk jika dikatakan, sayang anak tangan-tangankan. Inilah ulasan dan ringkasan yang dapat saya catatkan hasil pembacaan saya kali ini. Tulisan kali ini banyak saya rujuk kepada pembacaan buku "R&R Di Lebuh Raya Kehidupan" tulisan Zul Ramli M. Razali. Saya tetp berdoa, semoga saya masih terus diberi ruang dan peluang untuk teruskan pembacaan dan dikongsikan bersama.

Catatan kali ini memakan masa yang agak lama untuk saya sediakan. bermula pada 05 November 2011. Hanya pada 19 November 2011, dapat saya siarkan.
Jumpa lagi.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua warga pendidik khas warga SEMEKAP yang beragama Islam. Sila klik pada tajuk di atas jika berhajat membaca artikal tentang "Menghayati Hari Raya Korban" yang ditulis oleh Syed Hasan Alatas.