30 Julai 2009

MASYARAKAT MALAYSIA TIDAK BERSOPAN DI ATAS JALAN RAYA

Assalamualaikum....

Pada kali ini izinkan saya bercerita dan memberikan pandangan tentang masyarakat kita yang selama hari ini terkenal dengan sopan dan santun dalam banyak hal. Perkara yang saya sebut mungkin benar dan mungkin tidak benar sama sekali.

Pada hari ini, 30 Julai 2009, satu peristawa telah berlaku terhadap saya di atas jalan raya. Pada pukul 7.05 pagi tadi, seperti biasa akan menghantar anak bungsu saya ke sekolah, yang bersekolah di SK Kuala Kubu Bharu Satu. Sampai di lampu insyarat di hadapan stesen bas, semasa lampu isyarat masih hijau, dan kereta saya masih bergerak perlahan untuk melepasi lampu isyarat tersebut. Datang sebuah kereta hitam yang tidak saya sedari dari belakang melumba kereta saya dari sebelah kiri. Sampai di sebelah kereta saya, terus membelok melepasi kereta saya. Pada masa itulah mereta tersebut melanggar bahagian penjuru hadapan sebelah kiri kereta saya. Kereta itu terus membelok ke arah SMK Kuala Kubu Bharu.

Saya menghentikan kereta saya melepasi lampu isyarat, meminta anak saya melihat bahagian yang dilanggar. Oleh kereta yang melanggar kereta saya telah bergerak terus, tanpa berhenti, saya mengambil keputusan terus mengantar anak saya ke sekolah. Dari lampu isyarat ke sekolah tidaklah jauh, hanya 100 meter sahaja.

Anak saya yang masih bersekolah rendah pun dapat membuat penilaian bahawa kereta itu buat salah, melumba kereta saya dari arah kiri dan melintas di hadapan kereta saya. Anak saya bertanya kepada saya, mengapa pemandu itu tak berentipun, sekurang-kurangnya mintalah maaf jika dah buat salah. Kerosakan yang menimpa kereta saya itu saya biarkan sahaja begitu. Tidak guna saya nak marah tak menentu. Saya bimbang jika kita marah tak menentu, akan mendatangkan masalah kepada diri kita juga.

Walau bagaimanapun, dari peristiwa ini saya masih menganggap masarakat kita di Malaysia ini memang tidak bersopan, sudah pasti khasnya apabila memandu. Semua orang nak cepat untuk ke mana-mana, saya rasa sudah tentu pemandu itu ibu atau bapa yang hendak mengantar anak ke SMK kuala Kubu Bharu. Jika dah terlambat atau ada perkara yang hendak disegerakan, janganlah kita mengambil risiko membahayakan diri sendiri apatah lagi orang lain.

Tuan yang melanggar kereta saya itu saya anggap adalah insan yang pernah melalui pendidikan di sekolah, tetapi sistem pendidikan kita gagal mendidiknya menjadi orang yang berdisiplin. Saya selalu menyatakan kepada anak saya orang yang tidak berdisiplin itu biasanya masa sekolah mereka juga tidak berdisiplin. Hal ini terbawa-bawa hingga ke besar dan menjadi anggota masyarakat.

Biarkanlah peristiwa itu berlalu. Tidak guna diingat dan dikenang. Saya berharap pesalah tersebut, jika saya boleh menghukumnya di sini begitu, insaf dan sedarlah, tidak guna kita hilang sopan dan maruah diri di atas jalan raya. Apa pandangan anda yang lain ?

PEMATAUAN PENGETUA DG52

Pada 28.07.2009 pada hari Selasa saya bersama Tn PPD, Tn Hj Suhaimi bin Rashid, Pegawai Perhubungan, En Rozman dan Pegurus Kualiti PPDHS, En Mohd Isa telah mengadakan pemantauan khas ke SMK Syed Mashor, Batang Kali kerana arahan Pengarah Pelajaran Selangor, untuk melakukan pemantauan khas terhadap Pengetua yang memangku jawatan DG52.

Semua aspek perlu kami lihat dan nilai. Terima kasih kepada Puan Pengetua dan Penolong-penolong Kanan kerana memudahkan pihak kami melakukan penilaian. Ini adalah sekolah dan pengetua pertama yang sempat kami pantau. Selepas ini kami akan bergerak ke sekolah lain yang terlibat. Semoga dapat disediakan semua maklumat yang diperlukan dalam aspek:
1. Pentadbiran.
2. Kewangan.
3. Sumber manusia.
4. Hal Ehwal Murid.
5. Pengurusan dan kepimpinan kurikulum.
6. Pengurusan kokurikulum.
7. Hubungan pihak sekolah dengan luar.

Jumpa di sekolah masing-masing.

27 Julai 2009

BERSAMA ANAK-ANAK DI KUANTAN PAHANG PADA HARI AHAD

Pada 26 Julai 2009 (Ahad), saya dan isteri serta anak-anak bergerak ke Kuantan Pahang kerana mengunjungi anak kedua saya yang belajar di UIAM Kuantan.Pada pagi Ahad kami bergerak menaiki kereta bermula pada pukul 8.30 pagi. Sampai di UIAM sekitar pukul 11.30 pagi. Selepas berada sebentar di sana, kami mengambil keputusan untuk bergerak ke Kemaman, Terengganu.

Sampai di sana, kami mengambil peluang membeli keropok lekor dan kuih satar. Kami juga sempat makan tengah hari di kawasan ini, iaitu di warung atau restoran Aziz Satar. Sekitar pukul 2.30 petang kami bergerak semula ke UIAM untuk menghantar anak saya balik semula ke kampus. Sekitar pukul 4.00 petang kami mula bergerak balik ke Kuala Kubu Bharu. Semasa bergerak balik. anak perempuan saya (anak ketiga) mengambil alih tugas memandu kereta. Dia memandu sehingga selepas tol Karak. Selepas itu saya mengambil alih semula memandu kereta sehingga sampai ke rumah. Pukul 7.30 malam kami sampai di rumah di Kuala Kubu Bharu.

25 Julai 2009

PERASMIAN PENUTUP PROGRAM LDP GURU-GURU SEKOLAH TAMIL HULU SELANGOR

Pada 25 Julai 2009, saya menghadiri majlis penutupan Kursus Guru-guru sekolah Tamil daerah Hulu Selangor di dewan Raja Alam Aakademi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu.

Saya difahamkan bahawa penceramah pada hari ini terdiri daripada:
1. En Baskaran a/l Subramaniam (Pengelola Kanan SJKT), Sekolah harian KPM)
2. En M Segaran (Sektor Pengeluaran Ujian, LPM Jalan Duta)

Semoga slot-slot yang disampaikan oleh mereka akan mendatangkan manfaat kepada semua guru yang hadir.

24 Julai 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA PELAKSANA OLIMPIK MUDA PERINGKAT DAERAH DAN NEGERI

Pada 23 Julai 2009, suatu mesyuarat berkaitan Olimpik Muda telah dilaksanakan pada pukul 2.30 petang di SK Kuala Kubu Bharu (PPD Cawangan). Saya sempat hadir bersama-sama, sekaligus mempengerusikan mesyuarat berkaitan.

Semoga program ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar samada peringkat daerah atau negeri. Peringkat daerah bermula pada 27 Julai 2009, sementara peringkat negeri akan berlangsung pada 7-8 Ogos di Hulu Selangor.

PERASMIAN PENUTUP KURSUS OLEH IPGM DI HULU SELANGOR

Pada 23 Julai 2009, pukul 12.00 tengahari saya berkesempatan bersama dua kumpulan kursus guru di SK Lembah Beringin dalam majlis penutupan. Terdapat 2 kursus yang berjalan serentak di sini, melibatkan:
1. Kursus Kajian Tindakan yang dijalankan oleh IPGM Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur..
2. Kursus Kecergasan Pelbagai dijalankan oleh IPGM Kampus Bahasa-bahasa Antarabangsa.

Semoga kursus-kursus yang dilaksanakan dapat mendatangkan faedah yang besar kepada semua pendidik di daerah ini. Terima kasih kepada semua pensyarah IPGM yang berkaitan kerana sanggup melaksanakan kursus di daerah ini.

19 Julai 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA KURIKULUM SK KALI KE-2 DAERAH HULU SELANGOR

Pada 20 Julai 2009, mesyuarat berkenaan akan diadakan di PKG sungai Choh mulai 8.30 pagi. Semua Guru Besar dan Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan diminta hadir menjayakan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat pada hari ini telah selesai pada pukul 1.00 petang. Pada pukul 2.30 mesyuarat disambung dengan perkongsian maklumat Program Kecemerlangan Akademik Selangor, sebagai pemantapan terhadap program. Slot disampaikan oleh Tn hj Zainal bin Sudin mulai pukul 2.30 petang.

17 Julai 2009

CUTI REHAT URUSAN KERETA DAN MENGAMBIL ANAK DI KUALA PILAH

Pada hari ini, 17 Julai 2009, saya mengambil cuti rehat untuk menguruskan kereta saya di Selayang. Tugas saya hari ini seperti perjumpaan bersama Pengetua dan Jabatan Pelajaran telah saya serahkan kepada Penolong PPD Pengurusan sekolah, En Kamsah.

Pada masa catatan ini saya buat, saya berada di pusat servis kereta Toyata di Selayang. Saya masih menunggu kereta saya disiapkan.

Apabila semua selesai saya akan bergerak ke Kuala Pilah kerana terpaksa menjemput anak saya yang akan mula bercuti mulai hari ini. Saya perlu datang membawa barang-barangnya balik kerana bercuti selama dua minggu.

16 Julai 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA PENGURUSAN KEWANGAN DAN AKAUN JABATAN PELAJARAN SELANGOR KALI KE-2 2009

Pada hari ini, saya menghadiri mesyuarat berkenaan, mewakili Tuan PPD di Jabatan Pelajaran Selangor, mulai pukul 9.00 pagi. Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor, Tn Hj Bajuri bin Abdullah. Banyak perkara dibincangkan terutama prestasi berbelanja di peringkat negeri dan daerah di negeri Selangor.

Mesyuarat ini hanya dapat diselesaikan kira-kira pukul 2.45 petang. Semoga pengurusan kewangan peringkat daerah Hulu Selangor dapat dimantapkan, dengan syarat semua pegawai yang menguruskan peruntukan masing-masing dapat menguruskan peruntukan masing-masing dengan baik.

15 Julai 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH MENENGAH KALI KE-3 DAERAH HULU SELANGOR

Pada hari ini, 15 Julai 2009 satu mesyuarat, iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Sekolah Menengah Kali ke-3 2009 telah diadakan di PKG Sungai Choh.

Saya hadir mempengerusikan mesyuarat kerana Tuan PPD menghadiri Persidangan PPD Kebangsaan di Seremban dari 13-16 Julai 2009. Kehadiran mesyuarat hari ini melibatkan kehadiran Pengetua dan Penolong Kanan Sekolah Menengah. Pengurusan Akademik dihadiri oleh pegawai-pegawai yang terdiri daripada:

1. Penolong PPD Pengurusan Akademik (Pn Hjh. Hamidah bt Abd Samad)
2. Ketua Unit Sains dan Matematik (En Aznan bin Kasan)
3. Ketua Unit Sains Kemanusiaan (Tn Hj Sameon bin Sidek)
4. Penyelia Kanan Penilaian dan Peperiksaan (Tn Hj Rahim bin Omar)
5. Penyelia Pendidikan Islam (Tn Hj Saberi bin Yusof)
6. Penyelia KBSR dan Penyelidikan (En Hasren bin Damiri)

Pengurusan Akademik turut mengundang Tn hj Zainal bin Sudin (YDP Guru Cemerlang Selangor) untuk berkongsi maklumat dan mengingatkan kembali pelaksanaan Program Kecemerlangan Akademik Selangor (PCAS). Terima kasih khas untuk Tn Hj Zainal Sudin.

Terima kasih kepada semua yang hadir untuk menyempurnakan mesyuarat kali ke-3.Mesyuarat yang bermula pada 8.30 pagi hanya dapat diselesaikan pada pukul 2.30 petang.

12 Julai 2009

MAJLIS MERAIKAN PASUKAN TAEKWANDO HULU SELANGOR YANG BERJAYA DALAM SUKSES 2009

Pada 11 Julai 2009, sesi awal pagi saya sempat ke Akademi Bomba dan Penyelamat untuk sama-sama memulakan majlis Seminar Integriti anjuran IIM bersama PPD Hulu Selangor dan PPD Gombak. Saya sampai di Akademi Bomba pada pukul 8.00 pagi. Majlis dimulakan pada pukul 8.45 pagi lebih kurang. Majlis dirasmikan oleh Tuan PPD Hulu Selangor, Tuan Hj Suhaimi bin Rashid.

Saya tidak dapat bersama-sama dengan para peserta untuk mendengar ceramah yang disampaikan pada hari tersebut. Pada pukul 9.30 selepas selesai ucapan Tuan Hj Suhaimi, saya terus bergerak ke luar kerana arahan beliau untuk menggantikan tempat beliau dalam majlis meraikan pasukan Taekwando Hulu Selangor di Majlis Daerah Hulu Selangor.

Saya sampai di Majlis Derah sebelum pukul 10.00 pagi. Majlis belum bermula. Selepas 10.30 barulah majlis dapat dijalankan apabila semua jemputan dan pelajar atau peserta taekwando hadir ke majlis. YangDipertua Majlis Daerah, En Tukiman bin Nail merasmi dan mennyampaikan cenderamata kepada semua ahli pasukan yang berjaya dalam SUKSES 2009.

Telah dimaklumkan bahawa pasukan ini telah berjaya mendapat 8 emas, 1 perak dan 2 gangsa pada tahun ini. Dengan jumlah yang diperoleh, Hulu Selangor masih mendahului pungutan pingat sehingga minggu kedua kejohanan SUKSES tahun ini. Sesuatu yang hebat berlaku. Hulu Selangor tidak pernah mencapai kejayaan yang besar dalam SUKSES sebelum ini.

Semoga SUKSES yang akan berakhir pada 26 Julai akan menghasilkan keputusan yang baik. Biasanya Hulu Selangor akan berada di tangga ke-8 atau ke-9 dalam SUKSES. Perkembangan semasa menampakkan bahawa Hulu Selangor akan mengubah kedudukan tersebut pada tahun ini.

Setidak-tidaknya peserta SUKSES juga melibatkan pelajar sekolah sebahagian daripada Kotinjen yang menyertai pertandingan. Semoga mereka akan lebih berjaya pada masa akan datang sehingga menjadi atelit negara yang cemerlang.

11 Julai 2009

TAHNIAH KEPADA WARGA DAN PETUGAS-PETUGAS ISO PPD HULU SELANGOR

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua rakan di PPD Hulu Selangor khasnya petugas-petugas ISO, yang berjaya melalui proses pengauditan. Kita bersyukur kerana tiada sebarang NCR dan pemerhataian diberikan dalam audit tersebut.

Kita perlu mengemaskan semua hal berkaitan semoga audit SIRIM yang akan dijalankan pada bulan Ogos - Oktober nanti akan berjalan dengan lancar.

Warga PPD Hulu Selangor juga perlu bersedia untuk mengharungi sesi untuk Star Rating untuk tahun 2009. Semoga semuanya berjaya kita harungi.

08 Julai 2009

CUTI REHAT

Pada hari ini, 08 Julai 2009 saya masih bercuti. Saya menegambil kesempatan menguruskan hal-hal peribadi yang tidak selesai pada bulan ini. Pada sebelah petang saya dan isteri pergi ke Shah Alam. Tujuan kami ialah untuk melihat arah jalan ke SMK Bukit Jelutong, Shah Alam kerana isteri saya perlu hadir mesyuarat yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor. di sekolah ini pada 09 Julai 2009.

Perjalanan ke sekolah ini agak mudah sahaja.

06 Julai 2009

PENDAFTARAN ANAK DI UIAM KAMPUS KUANTAN

Pada 07 Julai 2009, saya cuti untuk menghantar anak perempuan saya (anak kedua) mendaftar di UIA Kuantan bagi sesi Tahun 1 ambilan Julai 2009. Anak saya baru meneyelesaikan kursus peringkat asasinya pada tahun 2009 ini.

Tahniah kepada pihak Universiti yang berjaya menguruskan sesi pendaftaran dengan baik dan berkesan. Bagi saya sesi pendaftaran boleh dianggap cemerlang.

Pada hari ini PPD Hulu Selangor juga menghadapi sesi pengoditan ISO, Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesi ini akan berlangsung pada 7-8 Julai 2009.

Selamat menguruskan segala hal yang berkaitan.

05 Julai 2009

SELAMAT MELALUI PROSES PENGAUDITAN ISO BAHAGIAN SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Saya ingin mengucapkan selamat melalui proses pengoditan ISO Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan bermula pada 7 Julai 2009. Semoga kita telah bersedia sepenuhnya untuk tujuan tersebut. Mari pastikan segala keperluan telah siap dengan rapi.

Pastikan semua tugas berjalan baik dan rauang kerja kita sentiasa ceria dan bersih pada setiap masa.

MESYUARAT PENYELARASAN FAIL MEJA TIMBALAN PPD NEGERI SELANGOR

Pada 1-3 Julai 2009, satu perjumpaan Timbalan PPD negeri Selangor telah dijalankan di Hotel Empress Sepang. Perjumpaan yang mengambil masa selama 2 hari ini telah berjaya menyiapkan draf fail meja untuk 10 orang Timbalan PPD negeri Selangor.

Hanya bahagian yang melibatkan carta organisasi dan objektif unit-unit tidak disediakan kerana perkara ini melibatkan perkara yang berbeza di kalangan daerah berbeza. Bahagian ini disediakan sendiri apabila balik daripada mesyuarat ini.

Saya menyudahkan bahagian ini dengan kerjasama En Mohd Isa Jali Pegawai Kualiti PPD Hulu Selangor. Terima kasih diucapkan kerana menyediakan maklumat tersebut.